PADANG TERAP: UMNO akan menerima apa jua ketetapan mengenai bilangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandingi parti itu dalam Barisan Nasional (BN) bersama Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak termasuk di Kedah.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, walaupun memiliki sasaran dan mengenal pasti kawasan-kawasan yang akan ditandingi, namun mereka tetap akan menunggu keputusan akhir oleh Sekretariat Kerajaan Perpaduan yang bermesyuarat 19 Mac ini.
Beliau yang dilantik oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai menteri angkat bagi Kedah untuk menghadapi PRN berkata, beberapa pertemuan tidak rasmi sudah diadakan bagi membincangkan hal-hal berkaitan pilihan raya itu termasuk penentuan kerusi.
“Kita telah beberapa kali mengadakan mesyuarat di peringkat UMNO sendiri dan mesyuarat dengan BN di peringkat negeri serta pertemuan tidak rasmi dengan pemimpin-pemimpin daripada PH termasuk berjumpa wakil-wakil rakyat mereka dua minggu lalu.
“Ini hanya pertemuan tak rasmi sebab kita tunggu keputusan akhir jawatankuasa induk PH-BN di peringkat nasional. Kita belum ada (keputusan) rasmi (walaupun) dah ada bincang dan yang penting kita ada sasaran kerusi dan kenal pasti beberapa kerusi untuk membolehkan kita buat perbincangan nanti.
“(Kita) ada angka (jumlah kerusi yang akan ditandingi) tetapi biarlah jawatankuasa di peringkat nasional putuskan dan kita akan terima (akur) nanti berapa (kerusi) UMNO-BN bertanding dan berapa pula PH bertanding,” katanya pada sidang akhbar selepas meninjau Mesyuarat Sayap-Sayap UMNO Bahagian Padang Terap di sini, hari ini.
Mahdzir yang menang tanpa bertanding jawatan Ketua UMNO bahagian itu berkata, pemilihan UMNO di peringkat sayap parti yang bermula pagi ini di seluruh negara berjalan lancar dan peraturan ditetapkan jawatankuasa pemilihan dipatuhi para perwakilan.
Katanya, proses undian sedang berjalan dan dijangkakan bagi pemilihan yang bermula pada sebelah pagi akan diketahui lewat petang keputusannya sebelum barisan kepimpinan baharu 2023-2026 diketahui malam ini.
Dalam konteks di Kedah Mahdzir berkata, kepimpinan yang akan dipilih di peringkat bahagian sama ada pemimpin lama atau baharu perlu bersiap sedia untuk meneruskan gerak kerja menghadapi PRN yang dijangka diadakan kira-kira tiga bulan lagi.
Ketika ditanya peluang untuk mempertahankan jawatan Naib Presiden, beliau menyerahkan kepada para perwakilan di bahagian-bahagian seluruh negara untuk menentukan siapa tiga pemimpin yang akan mengisi jawatan itu.
“Saya fikir para perwakilan pimpinan bahagian mempunyai justifikasi apabila mereka buat keputusan berkaitan siapa yang patut diberi peluang berkhidmat sebagai Naib Presiden dan saya yakin mereka juga tidak menolak saya,” katanya.
Sementara itu, Mahdzir enggan membuat sebarang komen mengenai spekulasi mengaitkan beliau akan kembali menjadi calon BN di peringkat DUN pada PRN kelak.
Beliau pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pedu pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2004 dan dilantik sebagai Menteri Besar Kedah kesembilan pada 2005 sebelum tewas pada PRU 2008. Pada PRU13 dan PRU14, Mahdzir menang bagi kerusi Parlimen Padang Terap. –UTUSAN