SHAH ALAM: Universiti Teknologi Mara (UiTM) tidak pernah menutup pintu kepada mana-mana pemimpin untuk masuk ke institusi pengajian bumiputera tersebut selagi ia memberi manfaat untuk para mahasiswa.
Namun menurut Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Roziah Mohd. Janor, pihak yang ingin masuk dan menganjurkan program dalam kampus sewajarnya melalui proses secara berhemah dan mematuhi prosedur yang digariskan.
“UiTM secara peribadi tidak mempunyai masalah dengan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.Sebenarnya isu semalam berlaku kerana penganjur tidak melalui proses yang berhemah,permohonan tidak dibuat melalui pejabat Naib Canselor.
“Kita tidak menerima surat (permohonan) daripada penganjur. Saya difahamkan semasa Syed Saddiq hadir di pintu utama dia berkata hadir atas jemputan penganjur,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UiTM dan Institut Integriti Malaysia (IIM) di Bangunan Canseleri, hari ini.
MoU ditandatangani beliau mewakili UiTM dan Ketua Pegawai Eksekutif IIM, Datuk Wan Suraya Wan Mohd. Radzi mewakili IIM.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM akan memberikan tarikh baharu kepada Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu bagi mengadakan dialog di universiti berkenaan.
Justeru, Syed Saddiq dalam kenyataannya menyambut baik cadangan diberikan pertubuhan berkenaan selepas kecewa tidak dapat mengadakan sesi dialog anjuran Ikatan Mahasiswa Demokratik, malam tadi.
Roziah menambah, individu yang bertanggungjawab menyebabkan Syed Saddiq gagal untuk masuk adalah pihak yang menjemput beliau dan UiTM bukan menghalang secara semberono.
“Kita tidak pernah menghalang mana-mana pemimpin kerajaan untuk masuk ke sini. Contohnya, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, tiada masalah dan kita sentiasa menerima dengan tangan terbuka.
“Kehadiran dua pemimpin itu ada yang menghantar dan menjemput, tetapi Syed Saddiq semalam kita tidak dapat lakukan kerana sudah pukul 10 malam dan mahasiswa kita masih menjalani program sempena Ramadan,” jelasnya.
Mengulas lanjut Roziah berkata, jika Syed Saddiq masih berminat untuk bertemu dengan pelajar UiTM pihaknya terbuka untuk meneliti semula permohonan rasmi daripada pihak penganjur.
Tambahnya lagi, tajuk-tajuk yang hendak dibincangkan perlu disertakan dalam permohonan dan jemputan kali ini biarlah relevan dengan pelajar UiTM.
“Kerana jika perbincangan berkaitan Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) ia tidak mempunyai kaitan dengan pelajar UiTM. Ini disebabkan pelajar UiTM tertakluk di bawah Akta 173 dan 174,”ujarnya. – UTUSAN