PUTRAJAYA: Tun. Dr. Mahathir Mohamad memberi tempoh tujuh hari kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya menarik semula kenyataan fitnah dibuat Perdana Menteri itu pada Kongres Nasional Khas PKR 2023, baru-baru ini.
Notis tuntutan itu diserahkan Dr. Mahathir menerusi Tetuan Rafique melalui serahan tangan ke Pejabat Perdana Menteri, semalam.
Dr. Mahathir berkata, beliau menuntut Anwar menjelaskan tentang tuduhan-tuduhan yang dibuat terhadapnya pada kongres itu.
Menurutnya, biarpun Anwar tidak menyebut namanya tetapi berdasarkan laporan akhbar, orang ramai faham tuduhan itu dilemparkan kepada dirinya.
“Anwar menuduh saya ada berbilion ringgit, agih kepada keluarga, anak, saya adalah scoundrel (penyangak) dan ini memberi gambaran buruk kepada diri saya.
“Ini adalah fitnah melainkan dia boleh tunjuk bukti bahawa saya dapat berbilion ringgit dan melarikan duit ke luar negara serta tidak bayar cukai.
“Banyak tuduhan dalam ucapan ini. Jika dahulu dia cakap masa tidak jadi Perdana Menteri tidak apa, tetapi sekarang beliau Perdana Menteri. Jadi, beliau tidak boleh buat tuduhan tanpa bukti jelas,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.
Katanya, beliau membuat keputusan supaya Anwar menarik balik fitnah yang dilemparkan itu atau menunjukkan bukti dan jika tidak dijawab maka tindakan undang-undang akan diambil.
Dr. Mahathir berkata, fitnah yang dilemparkan itu amat teruk seolah-olah memberi gambaran beliau mencuri duit seperti yang dilaporkan media.
“Jelas sekali ucapannya satu fitnah terhadap diri saya dan bukan org lain kerana saya orang berkuasa selama 22 tahun dan 22 bulan,” katanya.
Sebelum ini, Anwar dilaporkan berkata, rakyat khususnya orang Melayu tidak perlu lagi diperbodohkan dengan kenyataan pemimpin tertentu yang mendakwa memperjuangkan hak kaum berkenaan, namun dalam masa sama membolot kekayaan.
“Ada orang sekarang selepas 22 tahun campur 22 bulan pegang kuasa, mengeluh Melayu hilang segala-galanya, hilang harta, hilang saham.
“Bagaimana tak hilang kalau kamu bolot untuk kamu, untuk keluarga kamu dan anak-anak kamu. Sekarang hilang kuasa, bicara soal rakyat,” kata Anwar. – UTUSAN