KUALA NERUS: Tujuh sekeluarga beranak tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka di Kampung Serdang Baru, Bukit Tunggal di sini hangus dijilat api, malam tadi.
Menurut salah seorang mangsa, Sheikh Rosdi Sheikh Abdullah, 40, kejadian pada pukul 12 tengah malam itu berlaku ketika dia sedang membaiki motosikal di luar rumah sebelum terdengar bunyi letupan kecil.
Sheikh Rosdi berkata, dia menyangkakan bunyi itu berpunca daripada musang yang berkeliaran di atas atap dan hanya menyedari ada percikan api selepas beberapa minit kemudian.
“Bunyi letupan itu berlaku agak lama menyebabkan saya naik ke atas buaian untuk melihat bunyi itu, namun tergamam apabila melihat percikan api dari suis utama elektrik.
“Saya kemudian segera mengejutkan semua penghuni yang sedang tidur termasuk ibu yang berusia 78 tahun untuk keluar daripada rumah sambil saya cuba memadamkan api dengan air baldi.
“Bagaimanapun api marak terlalu cepat dan terus merebak ke dalam rumah. Mujur kami sempat menyelamatkan diri dan mengambil dokumen penting serta sedikit wang simpanan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurut abangnya, Sheikh Rosli, 46, dia reda dengan kejadian itu selain menganggap ianya ujian buat mereka sekeluarga yang telah menetap di situ selama lebih 30 tahun.
“Kami belum buat persiapan menyambut perayaan lagi tapi memang berhasrat membeli-belah tidak lama lagi bersama ibu, anak-anak dan anak saudara.
“Dengan insiden ini mungkin sambutan perayaan disambut ala kadar sahaja. Buat masa ini kami menumpang di rumah adik yang tinggal berdekatan tetapi dia pun sudah berkeluarga,” ujarnya.
Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerus, Azmi Omar, berkata, seramai 22 anggota bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada pukul 12.01 tengah malam.
Beliau berkata, kediaman dua tingkat itu telah musnah 100 peratus manakala punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. -UTUSAN