SEPANG: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menafikan spekulasi berhubung penamatan perkhidmatan pembayaran menerusi kad Touch ‘n Go, sebaliknya kaedah pembayaran dipelbagaikan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pihak kerajaan menyedari rungutan masyarakat ekoran kesukaran mendapatkan kad baharu Touch n’ Go apabila kad lama tamat tarikh luput.
Malahan, isu kekurangan kad tersebut pernah kecoh menerusi media sosial apabila ada pihak tidak bertanggungjawab menjualnya di pasaran gelap dengan harga terlalu mahal.
“Justeru, mesyuarat Kabinet baru-baru ini meminta kementerian saya agar disegerakan kaedah pembayaran secara terbuka dengan melibatkan semua jenis sistem,” jelasnya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Plaza Premium Lounge di terminal 1 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi bersama belia ada menyatakan kemungkinan pihak kerajaan memansuhkan trend monopoli oleh Touch ‘n Go.
Sistem diperkenalkan Rangkaian Segar Sdn. Bhd. yang kemudian Touch ‘n Go Sdn. Bhd. itu pada asalnya digunakan untuk Plaza Tol Jalan Pahang di ibu negara pada 1997 dan selepass itu diperluaskan kepada semua lebuh raya bertol di negara ini sebelum dikembangkan untuk jenis pengangkutan awam selain menerusi kaedah peranti SmartTAG.
Susulan keputusan itu, beliau mengarahkan semua agensi terutama Prasarana Malaysia Berhad mengaplikasikan sistem terbuka yang diintegrasikan bagi membolehkan penumpang yang tiada kad berkenaan boleh membayar dengan sebarang jenis kad debit atau kredit selain token koin daripada mesin.
Walau bagaimanapun, untuk kaedah pembayaran di lebuh raya bertol pula, Loke berkata ia terletak di bawah bidang Lembaga Lebuhraya Malaysia bagi menentukannya. – UTUSAN