PUTRAJAYA: Anugerah Tokoh Siswa Kebangsaan 2022 menjadi milik Mifzal Salihin dari Universiti Malaya (UM).
Pelajar tahun tiga jurusan kejuruteraan mekanikal itu membawa pulang wang tunai RM3,000, trofi, tawaran biasiswa dan sijil.
Anugerah itu disampaikan sendiri Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada Majlis Anugerah Tokoh Siswa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) 2022, di sini malam ini.
Mifzal ketika ditemui berkata, dia mengakui terpilih atas pembabitan aktifnya dalam platform pendidikan atas talian dikenali sebagai Afterkelas.com sejak tiga tahun lalu.
Katanya, ketika ini, platform itu sudah mempunyai 50 tutor terdiri daripada pelajar-pelajar universiti yang mampu menjana sehingga RM1,500 sebulan.
“Afterkelas.com menghubungkan tutor dengan pelajar-pelajar sekolah menengah yang mengambil subjek Matematik dan Sains,” katanya.
Kata mahasiswa berusia 22 tahun itu, dia akan memperluaskan platform itu pada masa depan termasuk mewujudkan barisan tutor yang berpengkalan di setiap universiti di negara ini.
Sementara itu, Mohamed Khaled dalam ucapannya berkata, anugerah ini adalah platform terbaik untuk memberi galakan kepada mahasiswa yang cemerlang dalam kepimpinan.
Beliau berkata, Anugerah Tokoh Siswa mula diperkenalkan sejak 2013 bagi memberi pengiktirafan kepada peranan individu dan badan mahasiswa di institusi pendidikan tinggi (IPT).
“KPT sentiasa menghargai dan mengiktiraf kecemerlangan pelajar dalam pelbagai bidang merangkumi akademik, sahsiah dan kokurikulum,” katanya.
Katanya, sebanyak 916 penyertaan direkodkan tahun ini dan jumlah itu meningkat setiap tahun dengan dicerakinkan kepada 18 penerima anugerah mengikut kategori dan satu anugerah utama iaitu Anugerah Tokoh Siswa Kebangsaan. – UTUSAN