PETALING JAYA: Seorang pemancing dinobatkan juara pada pertandingan memancing PJ Joran 2023 bagi tahun kelkima di Taman Tasik Bandaran Kelana Jaya, Petaling Jaya di sini.
Patin seberat 5.720kilogram berjaya dinaikkan oleh Shahrizal Yusri, 45, dari Semenyih atau lebih dikenali sebagai Tok Dalang pada jam 12.02 tengahari sekaligus membawa pulang wang berjumlah RM6,000 dan Piala Datuk Bandar, MBPJ dan menewaskan hampir 700 peserta yang hadir semalam.
Manakala naib juara Nor Rizuan Mohd Ariffin, 43 membawa pulang RM2,000 menaikkan ikan patin 1.970kilogram dan tempat ketiga peserta wanita Nadira Zabani, 34, menaikkan ikan talapia seberat 0.660kilogram membawa pulang RM1,000.
Shahrizal berkata, hadiah kemenangan itu akan dikongsi bersama keluarga dan kawan-kawan yang sentiasa menyokong minatnya dengan hanya menggunakan umpan cacing ketika menaikkan ikan patin selama 10 minit.
“Kemenangan awal ramadan yang bakal tiba. Saya sangat bersyukur. Ini hadiah buat keluarga saya selain berkongsi kemenangan bersama keluarga dan kawan-kawan.
“Selama lima tahun sayau mengikuti pertandingan memancing anjuran MBPJ, dan berkarap PJ Joran ini dapat diteruskan lagi pada tahun depan selain merapatkan silaturahim sesama kaki pancing,” katanya di sini.
Manakala kagi kategori khas ikan keli, juara dimenangi oleh Badrom yang berjaya membawa naik ikan seberat 1.015 kilogram membawa pulang hadiah wang tunai RM300, kedua Amy seberat 0.430 gram wang tunai RM200 dan ketiga Zul Subang seberat 0.370 gram wang tunai RM100.
Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Azhan Md Amir.
Mohamad Azhan berkata, beliau berbangga dengan penyertaan peserta dari seluruh negara, antaranya Melaka, Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Selangor amnya selain kehadiran keluarga yang memeriahkan PJ Joran tahun ini.
“Saya melahirkan rasa syukur program yang masuk tahun ke lima ini sampai ke matlamatnya.
“Hasrat MBPJ adalah untuk mempromosikan Taman Tasik Bandaran Kelana Jaya sebagai satu destinasi untuk beriadah bersama keluarga selain meningkatkan sumber pelancongan dan ekonomi setempat.
“Pertandingan ini juga bertujuan memperkenalkan taman tasik rekreasi yang boleh dimanfaatkan warga Petaling Jaya dengan aktiviti sihat.
“Pertandingan memancing PJ Joran ini wajar diteruskan lagi di tasik-tasik di bawah Petaling Jaya yang sediaada dan akan mengenalpastikan lokasi-lokasi tasik yang sesuai nanti.,” katanya.
“Lebih 200 ekor pelbagai spesis berjaya dinaikkan oleh kaki pancing kali ini antaranya Patin, Keli, Ketutu, Puyu, Peacock Bass dan Talapia,” katanya. – UTUSAN