Tindakan tegas perlu diambil kepada calon tolak tawaran

Tindakan tegas perlu diambil kepada calon tolak tawaran guru berkhidmat di Sarawak

KULLIN DJAYANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Kementerian Pendidikan digesa agar memberi keutamaan kepada anak Sarawak untuk berkhidmat di negeri ini dalam isu pelantikan guru baharu.

Presiden Kesatuan Guru Sarawak (STU), Kullin Djayang menggesa perkara itu agar kementerian berkenaan dibawah unit lantikan guru baharu untuk mengutamakan anak jati Sarawak sebagai guru di negeri kelahiran mereka sendiri.

“Ini kerana mereka akan lebih faham tentang budaya dan persekitaran serta mudah memahami adat juga bahasa penduduk tempatan. Mereka juga akan lebih mudah mengadaptasikan diri dengan keadaan sekeliling termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman.

“Saya percaya ramai anak Sarawak yang memohon samada sebagai guru one-off, guru mystep atau memohon ke IPG. Maka untuk mengelak perkara seperti ini berulang serta untuk mengisi kekosongan guru yang kritikal ketika ini,” katanya.

Di samping itu jelas Kullin perkara seperti itu juga boleh mengurangkan perpindahan keluar guru dari Sarawak, maka ambillah mereka ini untuk berbakti di bumi Kenyalang.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia ketika diminta mengulas berhubung laporan yang mendedahkan lebih 200 guru yang tidak melapor atau menolak tawaran untuk berkhidmat di Sarawak, baru-baru ini.

Justeru, STU menganggap ia adalah perbuatan yang ingkar arahan.

“Seseorang yang telah lulus temuduga sebagai guru, tetapi menolak kerana memilih tempat bertugas wajar dikenakan tindakan disiplin yang berat atau lebih baik disisihkan terus daripada senarai calon guru yang bakal ditempatkan, ini kerana sudah jelas bahawa mereka memang tidak mempunyai jiwa keguruan yang kental.

“Oleh yang demikian STU berharap pihak yang berkaitan dengan pengambilan guru ini perlu menekankan tentang nilai jiwa pendidik dan minat mendalam dalam menjawat jawatan sebagai guru, kerana tugas guru sebagai pendidik amatlah luas, berat dan perlu bersedia dalam menghadapi pelbagai kerenah pelajar dan masyarakat,” tambah beliau.

Tidak dinafikan beliau, pemilihan guru seharusnya berkualiti tinggi kerana profesion ini adalah tunjang utama kepada pembangunan sesebuah negara.

“Selagi pihak KPM tidak mengambil serius dalam pengambilan guru yang terdiri dari anak jati Sarawak, selagi itulah perkara ini akan berulang dan masalah kekurangan guru di Sarawak tidak akan terungkai.

“Pembekalan guru dari negeri lain tidak mungkin dapat menyelesaikan isu ini, kerana setiap guru dari luar Sarawak akan sentiasa berpindah balik ke tempat asal mereka setelah beberapa tahun,” ujarnya.

Malah, beliau berharap Menteri Pendidikan meneliti perkara sedemikian, kerana STU sentiasa menekankan tentang pengagihan 1,500 orang guru baharu menjelang pembukaan sekolah Mac ini bagi mengatasi kekurangan guru di negeri Sarawak.

“Kita juga amat percaya bahawa KPM akan sentiasa berusaha memenuhkan kira-kira 3000 kekosongan guru di Sarawak dengan mengekalkan kouta 90:10 menjelang hujung tahun 2023.

“STU juga ingin menegaskan kepada kerajaan negeri Sarawak dan Kementerian tempatan yang terbabit agar mengambil berat perkara ini. Jika masalah ini tidak ditangani dengan serius, sudah pasti usaha untuk menjadikan bidang pendidikan sebagai hak mutlak negeri Sarawak seperti dalam MA63 akan terjejas.

“Oleh itu saya berharap semua pihak yang berkaitan pendidikan di Sarawak harus bekerjasama dalam perkara ini agar masalah kekurangan guru dapat diatasi,” katanya. –utusan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya