Tiga sekeluarga cemas rumah dipecah masuk empat penyamun - Utusan Malaysia

Tiga sekeluarga cemas rumah dipecah masuk empat penyamun

Penyamun
TANGKAP layar daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan kejadian samun dekat sebuah rumah banglo di Taman Sri Andalas, Klang, Selangor, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Tiga sekeluarga termasuk warga emas berdepan detik hitam apabila banglo kediaman mereka dekat Taman Sri Andalas, di sini dimasuki empat penyamun bertopeng dan bersenjatakan parang dalam satu kejadian kira-kira pukul 8.45 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, penghuni rumah tersebut didakwa cuba menghalang  kesemua suspek daripada memasuki masuk rumah tersebut melalui pintu hadapan, namun gagal.

“Seorang mangsa mengalami kecederaan di jari kelingking kiri akibat menahan pintu semasa suspek cuba masuk ke dalam rumah. Semasa kejadian, suspek yang mengarahkan kesemua mangsa duduk di dalam bilik utama sambil diawasi oleh dua daripada mereka.

“Seterusnya salah seorang suspek bertindak mengambil rantai leher yang dipakai oleh dua mangsa manakala suspek lain menyelongkar bilik dan bag tangan. Suspek kemudiannya melarikan diri melalui pintu hadapan dengan menggunakan kenderaan yang sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, kesemua suspek bertopeng menaiki kereta jenis Proton Perdana nombor pendaftaran dipercayai palsu.

Hoong Fong turut memberitahu, semakan polis mendapati beberapa jenis barang kemas anggaran lebih kurang RM24,000.00, wang tunai anggaran RM800.00 dan sebuah telefon bimbit jenis iPhone hilang.

“Unit Forensik Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hadir membuat pemeriksaan di tempat kejadian. Hasil pemeriksaan berjaya menjumpai beberapa barang kes yang boleh membantu siasatan.

“Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan samun berkumpulan,” jelasnya.

Beliau menambah,  polis masih meneruskan usaha untuk mengesan dan menangkap suspek-suspek yang terlibat.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini atau suspek yang terlibat diminta untuk menyalurkannya terus kepada IPD Klang Selatan di talian 03-33762222 atau mana-mana balai polis yang berhampiran,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya