KOTA KINABALU: Gara gara pemandu sebuah kenderaan bergerak melawan arus, tiga lelaki maut manakala seorang kanak-kanak cedera dalam nahas jalan raya melibatkan pertembungan dua kenderaan di Jalan Papar Lama berhampiran Kampung Nambazan, Penampang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.10 malam itu, tiga lelaki berusia 17 hingga 58 tahun disahkan maut di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Penampang, Mohd. Haris Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada sebuah kenderaan yang dipandu melawan arus dan memasuki lorong bertentangan.
Beliau berkata, tindakan pemandu itu menyebabkan kereta dipandunya bertembung dengan kereta lain secara berhadapan dan menyebabkan kedua-dua kenderaan mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan.
“Akibat pertembungan itu, tiga lelaki disahkan maut di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan manakala, seorang kanak-kanak lelaki mengalami cedera ringan.
“Kesemua mayat mangsa dibawa ke Hospital Queen Elizabeth untuk bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd. Haris berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan menyebabkan kematian kerana memandu secara melulu dan membahayakan. –UTUSAN