Tiga ‘Maryam’ teruja ke sekolah - Utusan Malaysia

Tiga ‘Maryam’ teruja ke sekolah

AZHAR Darus (berdiri) beramah mesra bersama murid-murid tahun satu Bestari sempena hari pertama sesi akademik 2023/2024 di SK Sena, Kangar, Perlis hari ini.- UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Sesi persekolahan yang bermula pada hari ini berjalan lancar dengan setiap murid menunjukkan keterujaan mereka bersama rakan-rakan lain.

Menerusi tinjauan Utusan Malaysia di Sekolah Kebangsaan (SK) Sena, di sini, mendapati kebanyakan murid khususnya tahun satu bersemangat dengan hadir awal ke sekolah bersama ibu bapa masing-masing.

Menariknya, sesi pembukaan persekolahan kali ini turut memberi kelainan buat guru kelas tahun satu Bestari SK Sena di sini berikutan tiga orang muridnya mempunyai nama panggilan sama iaitu Maryam.

Ketiga-tiga murid berkenaan, Nur Maryam Khadeeja Masharul; Maryam Jasmine Amir dan Che Maryam Maritza Saiful Afdzan memulakan sesi persekolahan tahun satu dalam kelas yang sama.

Maryam Jasmine ketika ditemui memaklumkan dia amat seronok dan teruja dapat bersama rakan-rakan baharu bagi mengikuti sesi persekolahan.

“Seronok (datang ke sekolah), saya dapat jumpa kawan dan belajar bersama,” katanya.

Guru Besar SK Sena, Azhar Darus berkata, kehadiran tiga orang murid itu memberi sedikit kelainan bagi sesi pembukaan persekolahan pada kali ini memandangkan mereka mempunyai nama ‘klasik’yang jarang digunakan masa kini dan turut berada dalam satu kelas.

“Pada peringkat permulaan mungkin guru-guru kelas akan mengambil sedikit masa bagi mengenal pasti murid-murid yang mempunyai nama sama ini namun ia adalah satu kelainan memandangkan ketiga-tiga mereka mempunyai nama sama,” katanya.

Mengulas mengenai sesi pembukaan sekolah itu, Azhar berkata, dianggarkan seramai 140 murid tahun satu telah mendaftar di sekolah berkenaan dengan membabitkan empat buah kelas.

Katanya, proses bagi sesi pembukaan sekolah itu juga berjalan lancar di mana setiap murid turut hadir awal dengan semangat baharu.

“Tinjauan saya di sekolah juga mendapati murid-murid tidak menghadapi sebarang kesulitan dan semuanya berjalan lancar,” katanya.

Dalam pada itu, Azhar berkata, pada minggu pertama ini, murid-murid akan didedahkan kepada sesi suai kenal bagi membolehkan mereka memahami persekitaran sekolah di samping membina hubungan antara rakan-rakan dan guru.

Tambahnya, langkah itu adalah bagi membolehkan setiap murid menyesuaikan diri dengan persekitaran kelas agar mereka lebih bersemangat untuk ke sekolah.

“Pihak sekolah juga mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa dan guru yang terlibat dalam menjayakan sesi pembukaan sekolah kali ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya