Tidak wajar paksa murid berpuasa - Utusan Malaysia

Tidak wajar paksa murid berpuasa

FADHLINA Sidek bermesra bersama mahasiswa semasa menghadiri majlis berbuka puasa dan perasmian program Kongsi Rezeki di Pusat Islam, Kampus Kejuruteraan USM, Nibong Tebal, Pulau Pinang malam tadi. - Pix: SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

NIBONG TEBAL: Kementerian Pendidikan memohon pihak sekolah khususnya guru untuk memantau murid sekolah rendah terutama pelajar tahun satu yang menjalani ibadah puasa.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, ia susulan ketahanan dan kemampuan diri kanak-kanak adalah berbeza dan guru diminta mengambil tindakan sewajarnya sekiranya murid tidak mampu meneruskan ibadah rukun Islam ketiga itu.

“Kita kena ambil perhatian ada kanak-kanak tidak bersedia bukan kerana ekosistem (persekitaran) tidak sokong, tetapi mungkin ada masalah kesihatan, tidak bersedia selain dikhuatiri akan berlaku tak cukup air (dehidrasi) dan sebagainya.

“Sekolah perlu pantau dan jika guru lihat anak itu tak cukup air atau mengalami masalah kesihatan lain atau tidak bersedia untuk berpuasa, saya minta bincang dengan ibu bapa supaya ada proses pendidikan (berhubung ibadah puasa) yang boleh diambil.

“Ekosistem (persekitaran) itu penting, jika ibu bapa kata kena puasa, tetapi di sekolah guru lihat pelajar itu tidak larat (berdaya), maka boleh bincang dengan ibu bapa,” katanya.

Fadhlina ditemui pemberita selepas menghadiri majlis berbuka puasa dan perasmian program Kongsi Rezeki di Universiti Sains Malaysia (USM), di sini hari ini.

Beliau mengulas berhubung hantaran segelintir ibu bapa di laman sosial yang meluahkan rasa terkilan terhadap sesetengah pihak pentadbiran sekolah yang memaksa anak-anak mereka untuk terus berpuasa meskipun tidak larat untuk melaksanakannya.

Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, ibu bapa juga perlu memainkan peranan untuk memahami kesediaan anak-anak untuk melaksanakan ibadah puasa atau sebaliknya.

“Kewajipan berpuasa ini bermula dengan asuhan ibu bapa, bagaimana mereka nak memperkenalkan dan menganjurkan dan mendidik anak anak mereka berpuasa dan ia mengikut keadaan anak masing-masing.

“Ada sesetengah kanak-kanak sudah bersedia lebih awal, daripada darjah dan dua dah boleh berpuasa dan ada kanak-kanak yang belum bersedia, maka ia bergantung kepada tahap kanak kanak tersebut,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Fadhlina mengulangi pendirian pihak kementerian itu yang mana yang tidak ada keperluan untuk kantin ditutup semasa bulan Ramadan.

Ujar beliau, pengusaha kantin disarankan meneruskan operasi seperti biasa bagi menyantuni kanak-kanak Islam yang tidak berpuasa dan kanak-kanak bukan Islam.

“Saya mohon memandangkan kita telah mengeluarkan pendirian (kantin dibuka) begitu, maka diminta ibu bapa dan pihak sekolah untuk pantau perkara ini,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata semua pihak terutamanya Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), ibu bapa, guru, pihak sekolah dan komuniti memainkan peranan supaya ada ruang bagi kanak-kanak yang tidak berpuasa untuk makan.

“Tempat itu juga mestilah tempat sesuai untuk mereka khususnya murid bukan Islam makan juga.

“Saya tidak mahu mereka makan di stor, tempat-tempat yang tidak sesuai untuk mereka makan dan keadaan ini mesti dipantau pihak sekolah dan PIBG,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya