PASIR SALAK: Khairul Azwan Harun menang jawatan Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak dalam pemilihan parti itu yang diadakan di Dewan Besar Bandar Baru Felcra Seberang Perak, Changkat Lada di sini hari ini.
Berdasarkan keputusan tidak rasmi setakat pukul 7 petang, Khairul Azwan, 47, atau Azwan Bro menewaskan pencabarnya, Dr Faizal Tajuddin yang juga anak sulung bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.
Khairul Azwan yang juga bekas Naib Ketua Pemuda UMNO menang dengan majoriti 46 undi.
Beliau memperolehi 342 undi manakala Dr Faizal pula dengan 296 undi.
Kemenangan Khairul Azwan itu menamatkan legasi Tajuddin yang menggalas jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak selama 18 tahun sejak 2004.
Kerusi Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak kosong setelah Tajuddin yang juga penyandangnya digantung keahlian selama dua penggal atau enam tahun.
Pada Jun lalu, Tajuddin dipecat daripada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.
Sementara itu, sehingga pukul 8 malam ini, keputusan bagi lain-lain jawatan yang dipertandingkan masih belum diketahui. – UTUSAN