PETALING JAYA: Malaysia tidak akan membenarkan mana-mana kuasa besar untuk membuat keputusan dan menentukan hala tuju masa depannya.
Tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Malaysia sebagai sebuah tanah air yang bebas dan merdeka akan mempertahankan kedaulatannya dan menentukan perkara yang terbaik untuk negara.
“Tiada siapa yang harus menentukan hala tuju kita, sebagai negara yang bebas dan merdeka, kita akan memutuskan apa yang terbaik untuk kita.
“Kita juga harus mengekalkan kedudukan ini dalam ASEAN, kerana ASEAN ditubuhkan sebagai zon bebas dan berkecuali,” katanya menjawab soalan mengenai persaingan China-Amerika Syarikat (AS) semasa syarahan umum di Universiti Tsinghua yang merupakan universiti tersohor di China.
Menurut Anwar, Malaysia mahu membina hubungan baik dengan semua negara, termasuk China dan AS.
Beliau berkata, Malaysia tidak melihat China sebagai pesaing mahupun ancaman walaupun mungkin terdapat beberapa perselisihan faham antara kedua-dua negara.
“Memandangkan tiada ancaman langsung dari China, kami gembira menjadi jiran yang baik, kawan dan mendapat manfaat daripada kejayaan mereka,” katanya.
Anwar berkata, China dan AS juga perlu memahami bahawa hubungan diplomasi antarabangsa yang dinamik hari ini telah berubah dan konflik Rusia-Ukraine yang berterusan menjejaskan seluruh dunia.
“Zaman penjajahan dan imperialisme baharu telah berlalu. Tiada negara boleh menentukan. Rakyat mahu menuntut kebebasan mereka dan memutuskan apa yang terbaik untuk diri dan negara mereka,” katanya.
Dalam syarahan sama, Anwar mengalu-alukan inisiatif Presiden China, Xi Jinping untuk berkongsi kekayaan dan pembangunan melalui Inisiatif Jalur Sutra Baru (BRI).
Menurutnya, China kini di depan dan telah serta sedang melakukan yang terbaik berbanding negara-negara di Eropah dalam mendepani tantangan dunia hari ini terutamanya dalam hal perubahan iklim.
“Pemimpin dan negara mesti bergerak ke depan mendepani ‘creative destruction’ dan tidak boleh kita teruskan etika yang lama dan usang untuk mempaculkan sistem dan budaya baharu,” katanya.
Dalam syarahan itu, Anwar juga menyebut mengenai hubungan akrab antara Malaysia dan China dengan memetik kisah pengembaraan Laksamana Cheng Ho ke Melaka pada 1453 yang menjadi permulaan hubungan pertama dengan negara itu.
Terdahulu, Anwar dan delegasi mengadakan kunjungan hormat Pengerusi Majlis Universiti Tsinghua, Prof Qiu Yong.
Anwar kemudiannya menunaikan solat Jumaat bersama kira-kira 300 jemaah di Masjid Dongsi Beijing dan melawat perpustakaan mini yang ditempatkan di masjid itu. – UTUSAN