KUALA LUMPUR: Tiada kesan pengurangan kepada prestasi sektor e-dagang tempatan dalam pelaksanaan cukai jualan terhadap barang bernilai rendah (LVG).
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pelaksanaan cukai itu hanyalah bertujuan bagi memberi layanan sama rata di antara barang keluaran tempatan dan yang diimport.
Jelasnya lagi, ia sama ada melalui udara, laut dan darat, selain untuk merancakkan lagi permintaan domestik dan menggalakkan pembelian barang buatan Malaysia.
“Malaysia bukan negara pertama yang mencadangkan cukai LVG ini tetapi ia sudah dilaksanakan di Australia, New Zealand, United Kingdom dan Singapura,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu, Tan Kar Hing (PH-Gopeng) dalam soalan tambahan meminta kementerian menjelaskan mengenai unjuran kesan pelaksanaan cukai jualan LVG terhadap prestasi dan pertumbuhan sektor e-dagang. – UTUSAN