Tiada isu ‘pengundi hantu’ ketika pemilihan Wanita UMNO Kuala Kedah

Tiada isu ‘pengundi hantu’ ketika pemilihan Wanita UMNO Kuala Kedah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pemilihan Wanita UMNO Bahagian Kuala Kedah yang digantung ketika mesyuarat sayap berkenaan pada Sabtu lalu tidak melibatkan kewujudan ‘pengundi hantu’ walaupun proses pemilihan terpaksa diadakan semula.

Menurut Setiausaha Kerja UMNO Kedah, Datuk Ariffin Man, semakan dilakukan mendapati kewujudan 49 kertas undi yang terlebih setelah proses pengundian tersebut selesai melibatkan perwakilan yang sah.

“Hasil semakan didapati terdapat masalah teknikal daripada pihak jawatankuasa yang gagal melakukan proses pendaftaran delegasi dengan sempurna semasa mereka hadir untuk pengundian.

“Ia kemudiannya mewujudkan kekeliruan selepas jumlah kehadiran dalam rekod tidak sama dengan jumlah undi yang dikeluarkan. Justeru, tidak timbul soal pengundi hantu dalam proses pengundian itu,” katanya di sini, hari ini.

Ahad lalu, akhbar ini melaporkan keputusan pemilihan sayap Wanita UMNO Bahagian Kuala Kedah tergantung ekoran percanggahan jumlah undi dalam proses yang diadakan di Dewan Ukir Mall, sehari sebelum itu.

Sumber  memberitahu, kontroversi timbul setelah Jawatankuasa Pemilihan Bahagian Kuala Kedah mendapati sebanyak 570 kertas undi diterima selepas proses pengundian berbanding jumlah 521 perwakilan yang menghadiri mesyuarat sayap itu.

Sementara itu, Ariffin berkata, UMNO memutuskan untuk mengadakan semula pengundian bagi sayap Wanita Bahagian Kuala Kedah di Bangunan Tunku, di sini antara pukul 2.30 petang hingga 5.30 petang, Rabu ini.

Katanya, proses pengundian akan diuruskan oleh Jawatankuasa Pemilihan UMNO sambil diselia oleh UMNO Pusat. 

“Delegasi sayap wanita bahagian itu boleh hadir menjalankan pengundian mereka mengikut masa dan tarikh yang ditetapkan,” katanya.

Dalam pertarungan jawatan Ketua Wanita UMNO bahagian itu, bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim menawarkan diri untuk menentang penyandang, Noor Hasita Mat Isa. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya