GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang berasa terhina dengan kenyataan Timbalan Presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM), Datuk Mohamad Ezam Mohd. Nor yang mendakwa kerajaan negeri terlalu dominan pada masa ini sehingga melenyapkan demokrasi di negeri itu.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kenyataan sedemikan tidak sepatutnya keluar daripada seseorang yang pernah menjadi sebahagian daripada suara gerakan reformasi seperti Mohamad Ezam.
”Mohamad Ezam pernah menjadi sebahagian daripada suara gerakan reformasi yang cuba mahu reformasikan negara ke arah baharu iaitu negara yang lebih demokratik, menghormati hak-hak kemanusian dan sebagainya,” katanya selepas menghadiri Penang Future Foward Summit 2023 di sini hari ini.
Semalam, Mohamad Ezam yang juga bekas Ketua Pemuda PKR mendakwa kerajaan negeri Pulau Pinang terlalu dominan pada masa ini akibat ketiadaan pembangkang.
Ia susulan empat orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang diarahkan mengosongkan kerusi mereka pada sidang DUN baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Pengerusi DAP Pulau Pinang berkata, semua pihak tahu mengapa empat ADUN berkenaan perlu mengosongkan kerusi masing-masing pada sidang DUN baru-baru ini.
“Sudah menjadi kenyataan, kerajaan pernah dijatuhkan kerana ada wakil rakyat yang melompat parti dan akhirnya satu undang-undang diluluskan di peringkat Parlimen.
”Sedangkan di Pulau Pinang ada undang-undang ini 10 tahun lalu, ia menunjukkan kita mempunyai visi yang memandang jauh ke depan kerana kita tidak mahu demokrasi dirampas oleh pihak yang mempunyai kepentingan diri.
”Jadi kalau ini disifatkan sebagai kurang demokratik, adakah Langkah Sheraton sebelum ini satu tindakan demokratik?” katanya.
Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, pihaknya amat mengalu-alukan PRM atau mana-mana parti lain untuk meletakkan calon masing-masing pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
“Isu tiada demokrasi tidak timbul di negeri ini, mereka dijemput untuk bertanding di Pulau Pinang kerana ia sebahagian daripada proses demokrasi di sini,” katanya. – UTUSAN