Terpaksa terima walaupun perit – ADUN Bersatu - Utusan Malaysia

Terpaksa terima walaupun perit – ADUN Bersatu

EMPAT ADUN Bersatu (dari kiri) dan Zolkifly Md. Lazim; Dr. Afif Bahardin; Zulkfili Ibrahim dan Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq ketika meninggalkan sidang DUN Pulau Pinang selepas usul supaya mereka mengosongkan kerusi masing-masing diluluskan hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang diarahkan mengosongkan kerusi masing-masing pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini terpaksa menerima keputusan itu dengan perit.

ADUN Bertam, Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq berkata, keputusan itu juga bukan mengejutkan meskipun dianggap sebagai tidak adil.

Dalam masa sama, beliau mempersoalkan bagaimana pembangkang Pulau Pinang mampu berperanan dan berfungsi dengan aktif memandangkan hanya tinggal satu-satunya ADUN pembangkang di DUN kini iaitu Mohd. Yusni Mat Piah daripada Pas.

Selain itu, beliau turut melahirkan rasa hairan kerana ADUN UMNO Sungai Dua, Datuk Muhammad Yusoff Mohd. Noor masih berperanan sebagai Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang meskipun Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) sudah membentuk kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.

“Kami terpaksa menerima keputusan ini sebab kami tahu kalau sudah melalui proses undian kami akan kalah. Sebab secara logiknya pun nombor (jumlah) ADUN kerajaan melebihi ADUN pembangkang.

“Dan sekiranya ada ADUN kerajaan yang bersetuju dengan kami sekali pun kerana beranggapan kami betul, mereka akan kena pecat jika menyokong kami,” katanya.

Beliau ditemui pemberita di pekarangan bangunan DUN selepas diarahkan keluar daripada sidang DUN berikutan usul supaya mereka mengosongkan kerusi masing-masing diluluskan majoriti ADUN hari ini.

Selain Khaliq Mehtab, turut diarahkan mengosongkan kerusi dan meninggalkan sidang DUN ialah Dr. Afif Bahardin (Seberang Jaya); Zulkfili Ibrahim (Sungai Acheh) dan Zolkifly Md. Lazim (Teluk Bahang).

Usul Pengisytiharan Kekosongan Kerusi Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang di bawah Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang itu diluluskan dengan sokongan majoriti ADUN selepas dibahaskan oleh seramai 12 ADUN.

Terdahulu, usul itu dicadangkan Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman (PKR-Pinang Tunggal) dan disokong Jagdeep Singh Deo (DAP-Datuk Keramat).

Usul itu dibentangkan hari ini susulan keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap kesahihan klausa-klausa dan perkara-perkara di dalam Perlembagaan negeri yang melarang wakil rakyat melompat parti.

Ia berikutan keputusan panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan pada Ogos tahun lalu yang memutuskan peruntukan di bawah enakmen anti lompat parti Pulau Pinang adalah sah dan berperlembagaan.

Dalam pada itu, Khaliq Mehtab mendakwa, keputusan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang mengosongkan kerusi mereka menerusi usul di sidang DUN itu adalah jelas satu tindakan bermotifkan politik.

“Insya-Allah, kita akan kembali selepas ini dengan lebih besar dan lebih kuat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya