BARU beberapa hari melancarkan lagu bertema kenegaraan, Malaysia Madani, kumpulan rock-indie, Bunkface berdepan pelbagai kecaman yang mungkin cukup pahit untuk ditelan.
Kurang jiwa, lagu lama lebih baik dan banyak lagi respons berbaur negatif yang bertebaran di media sosial. Hakikatnya, bukan mudah untuk kita memuas hati semua pihak.
Lantas timbul persoalan, adakah kumpulan tersebut berkecil hati? Apakah mereka merasakan usaha tersebut gagal? Hits mendapatkan Bunkface!
H: Boleh kongsikan kerjasama untuk menghasilkan lagu Malaysia Madani? Bila terima tawaran dan apa inspirasi menghasilkan lagu tersebut? Itu satu tanggungjawab besar.
B: Pada asalnya kami dimaklumkan oleh pihak pengurusan bahawa agensi kerajaan sedang mencari lagu tema untuk kempen Malaysia Madani. Difahamkan beberapa komposer lain tanah air turut dipelawa untuk menghasilkan lagu tersebut.
Kami menghantar rangka lagu ini dalam bentuk demo berdurasi 2 minit. Alhamdulillah, dua minggu selepas demo dihantar dan melalui beberapa proses serta saringan, kami dimaklumkan bahawa lagu itu terpilih untuk kempen Malaysia Madani .
H: Boleh komen sedikit mengenai beberapa kritikan dan kecaman berhubung lagu tersebut? Kecil hati, terkilan?
B: Kami sentiasa menerima segala pendapat daripada pendengar. Sama ada baik atau buruk, kami jadikan setiap kritikan sebagai input untuk menghasilkan karya yang lebih baik pada masa akan datang.
Kalau nak cakap soal berkecil hati atau terkilan, tidak sama sekali. Bagi kami itu adalah satu perkara biasa. Setiap karya pasti ada yang suka dan ada yang kurang suka.
H: Saya kira, ini bukan kali pertama Bunkface berdepan kecaman dan kritikan tidak membina seperti ini. Bagaimana kalian menghadam setiap satu kritikan negatif tersebut?
B: Kita harus terima hakikat, tugas kami bukanlah untuk memuaskan hati semua pihak. Jika ada yang minat, pasti ada yang benci.
Tetapi yang penting niat untuk berkarya dan menjadikan kerjaya seni muzik sebagai punca rezeki untuk menyara hidup kami dan keluarga kami.
H: Kita alih topik pula ya. Banyak kumpulan muzik anak muda menjadikan Bunkface sebagai penanda aras dan contoh terbaik. Bagaimana kalian melihat aspirasi sebegitu?
B: Wow, itu satu tanggungjawab besar. Sejujurnya, kami rasa bersyukur jika ada yang melihat Bunkface sebagai satu penanda aras dalam jalur seni muzik tanah air.
Tetapi dalam pada masa yang sama, kami sedar, banyak lagi ruang untuk kami teroka dan belajar. Kami masih bersaing untuk menjadi pemuzik yang lebih baik selagi kami terus berkarya.
H: Apa hala tuju dan arah Bunkface sekarang? Selepas 17 tahun, apa yang Bunkface mahukan? Projek baharu album atau konsert berskala mega?
B: Memang dalam perancangan, Bunkface akan mengeluarkan sebuah lagi studio album kami yang keenam tahun ini.
Dalam pada masa yang sama, pihak pengurusan juga sedang dalam perancangan untuk mengadakan sebuah konsert solo di sini dan kembara di sekitar Asia Tenggara.