KUALA TERENGGANU : Kerajaan Persekutuan memberi komitmen untuk meneruskan pemberian Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) kepada kerajaan Terengganu seperti yang disalurkan sebelum ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, khabar gembira itu dimaklumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu pertemuan di Putrajaya, semalam.
Ahmad Samsuri berkata, dana khas tersebut akan diberi kepada kerajaan negeri pada akhir bulan ini.
“Bagaimanapun, jumlahnya tidak diketahui lagi, kena tunggu duit itu masuk dulu.
“Namun, kita menganggarkan agak banyak juga berdasarkan harga minyak yang tinggi pada tahun lepas.
“Wang tersebut juga akan dibayar sebanyak dua kali setahun,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas.Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri menambah, pertemuan itu juga menunjukkan satu petanda positif terhadap hubungan federalisme yang lebih erat antara kerajaan negeri dan Pusat selepas ini.
“Beberapa keputusan penting yang lain juga akan dilaksanakan oleh kerajaan Pusat di Terengganu namun masih belum boleh dimaklumkan setakat ini.
“Pelbagai perkara dibincangkan dengan penuh semangat keterbukaan dan positif, berkait dengan urusan negeri dan Persekutuan termasuk program pembasmian kemiskinan, pembangunan, kewangan dan lain lain,” katanya.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said pernah memaklumkan di Dewan Rakyat bahawa Kelantan dan Terengganu tidak layak menerima hasil petroleum sebanyak lima peratus. – UTUSAN