Tentera darat cemerlang ketika Covid-19  - Utusan Malaysia

Tentera darat cemerlang ketika Covid-19 

ZAMROSE Mohd. Zain memberi tabik hormat ketika acara Perbarisan Penghargaan Panglima Tentera Darat Ke-28 di Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kecemerlangan tentera darat dalam membantu kerajaan mengawal keadaan dan keselamatan semasa negara dilanda Covid-19 sehingga berlakunya pandemik tidak boleh disangkal.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd. Zain berkata, keadaan tersebut merupakan situasi yang tak pernah dihadapi oleh bekas pemimpin sejawatnya, jadi ia menjadi antara kenangan sepanjang menggalas tanggungjawab memimpin pasukan pertahanan itu.

Menurut beliau, pasukan tentera darat menyumbang pelbagai perkara yang membantu kerajaan mahupun masyarakat semasa negara berhadapan dengan situasi tersebut.

“Sejak 90 tahun, kita tidak pernah melalui Covid-19. Jadi kalau perkara ‘luar biasa’ kita (tentera darat) capai adalah membantu kerajaan dalam menyelesaikan masalah-masalah atau tentang wabak tersebut.

“Saya rasa tentera darat banyak menyumbang semasa pandemik, di mana banyak operasi kita laksanakan dan saya rasa pengalaman sebegini tidak dapat dirasai serta berharap ia tidak berlaku lagi,” katanya semasa sidang akhbar selepas majlis Perbarisan Penghargaan Panglima Tentera Darat Ke-28 di Kem Perdana Sungai Besi.

Perbarisan yang berkongsepkan Perbarisan Istiadat melibatkan 12 detasmen gabungan, 39 pegawai dan 1,057 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP), perbarisan tersebut juga diketuai oleh Pegawai Memerintah Batalion Ke-16 Rejimen Askar Melayu Diraja (16 RAMD), Leftenan Kolonel Mohd Azmi Mohd Nor.

Perbarisan tersebut diadakan sebagai penghargaan dan penghormatan terakhir kepada Zamrose dan isterinya, Puan Sri Zainuriah Mustapha yang akan mula bercuti pada 23 Mac sebelum menamatkan perkhidmatan pada 21 September ini.

Mengulas lanjut, Zamrose berpendapat setiap era pemimpin terdahulu akan berlakunya sesuatu yang di luar jangkaan namun pasukan tentera darat kekal komited menyelesaikan dan menjalankan tanggungjawab sehabis baik.

“Sebagai contoh, semasa 2013 kita lalui krisis pencerobohan Lahad Datu dan kemudiannya kia lalui Covid-19 pula. Kita tak tahu apa yang akan bakal berlaku pada masa akan datang sebab itu saya sentiasa beritahu anggota-anggota mesti bersiap siaga dalam apa keadaan.

“Saya yakin pasukan tentera darat memberi perkhidmatan sebaik mungkin. Saya begitu bangga sebagai Panglima Tentera Darat, apa saja kerja ditugaskan oleh kerajaan kepada tentera darat di bawah naungan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak ada satu tugas kita gagal,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya