BACHOK: Seorang pengusaha ikan bekok iaitu ikan kering separa masak di Kampung Perupok di sini tidak menang tangan apabila menerima tempahan pelanggan berlipat kali ganda sejak hari pertama Ramadan.
Azwana Mohd. Nor, 50, berkata, sebelum ini, dia menerima tempahan pelbagai jenis ikan untuk menghasilkan ikan bekok sebanyak 50 kilogram (kg) dalam tempoh sehari dan jumlah itu meningkat kepada 200kg pada minggu lalu.
Menurutnya, permintaan terhadap ikan bekok bukan sahaja dalam kalangan pelanggan, sebaliknya peniaga makanan membuat tempahan awal.
“Kebanyakan pelanggan membeli ikan bekok untuk dijadikan sebagai stok semasa bersahur kerana ia mudah disediakan apabila ikan-ikan itu boleh terus digoreng sebelum dimakan bersama nasi.
“Setiap ikan bekok yang dijemur di atas para di depan rumah saya ini sudah ada pelanggan yang menempahnya. Disebabkan itu, penghasilan dan jualan ikan bekok meningkat kepada 200kg sehari,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menurut Azwana yang juga isteri kepada nelayan, ikan yang dijadikan ikan bekok untuk jualan antaranya ikan gelama, seliat, selar papan dan selar kuning.
Katanya, harga jualan ikan bekok pula bermula RM12 hingga RM65 sekilogram bergantung kepada jenis ikan.
“Saya memperoleh bekalan ikan daripada nelayan setempat, kawasan pendaratan Pengkalan Petah, Tok Bali dan Kuala Besut. Kebiasaannya, ikan yang digunakan untuk hasilkan ikan bekok bersaiz besar,” katanya. – UTUSAN