PUTRAJAYA: Ibu bapa atau penjaga yang ada memohon kemasukan anak mereka ke tingkatan satu sekolah khusus boleh membuat semakan keputusan mulai 17 Mac depan.
Perkara tersebut dimaklumkan Kementerian Pendidikan menerusi pautan laman sesawang rasmi Sistem Permohonan Sekolah Khusus Ke Tingkatan Satu (SPSKT1).
Semakan tawaran tersebut boleh dilakukan melalui pautan https://spskt1.moe.gov.my/ atau aplikasi perkhidmatan elektronik kementerian berkenaan iaitu https://www.moe.gov.my
SPSKT1 diperkenalkan ekoran pengumuman bekas Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Md. Jidin membatalkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada 2020 sekali gus menjadi kaedah baharu pemilihan murid tahun enam di sekolah rendah memasuki SBP dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dikendalikan pihak kementerian.
Susulan itu, mesyuarat pasca Kabinet memutuskan kaedah kemasukan untuk dua jenis sekolah khusus tersebut menerusi sistem khas pentaksiran standard secara berpusat.
Permohonan untuk proses pemilihan ketat berkenaan untuk sesi persekolahan 2023 dibuka kepada murid tahun enam pada 30 September tahun lepas dengan penilaian dilaksanakan secara berperingkat dari 6 hingga 16 Februari lalu.
Berdasarkan makluman kementerian itu menerusi laman sesawang SPSKT1, sebanyak 9,350 tempat ke tingkatan satu sahaja yang ada disediakan melibatkan 69 buah SBP meliputi sejumlah 51 SBP aliran Sains dan 11 SBP aliran Agama, manakala baki empat lagi ialah SBP aliran Tahfiz Model Ulul Albab (TMUA).
Sementara untuk kemasukan ke SMKA pula, keseluruhannya sebanyak 9,168 tempat ditawarkan membabitkan sejumlah 61 sekolah berkenaan dengan 11 buah SMKA turut memiliki aliran TMUA yang dicetuskan ideanya oleh bekas Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh pada awal 2014 lalu. – UTUSAN