KUALA LUMPUR : Vokalis kumpulan Saujana, Dr. Idzu Baharin sedia menerima kecaman gara-gara penampilannya yang memakai busana beropol ketika menjayakan konsert sulung Saujana sempena 25 tahun yang berLangsung di Zepp Kuala Lumpur, semalam.
Katanya, dia sedia maklum bahawa penampilan tersebut belum pernah digayakan mana-mana penyanyi nasyid sebelum ini. Justeru, Dr. Idzu terbuka terhadap kritikan masyarakat berhubung penampilan tersebut.
“Saya terbuka dengan kecaman dan kritikan yang mana masyarakat kita masih lagi cuba membiasakan diri dengan bentuk fesyen sebegini bagi irama nasyid.
“Ini juga merupakan cabang seni dan siapa tahu, mungkin saya juga dapat menarik minat orang untuk mendengar nasyid. Ibarat saya berdakwah menerusi fesyen,” katanya.
Konsert Saujana 25 Tahun menampilkan konsep persembahan berbeza menerusi rangkaian lagu-lagu yang pernah dipopularkan kumpulan tersebut.
Konsert tersebut menjadi lebih istimewa hasil iringan pemuzik Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) dibawah pimpinan Yazid Zakaria.
Turut membuat persembahan merupakan penyanyi nasyid legenda, Nazrey Johani, Ustaz Nabil, kumpulan Awla dan Andika.
Mengulas lanjut, Idzu atau nama sebenarnya Khairul Idzwan Baharin berkata setiap manusia dikurniakan karakter berbeza. Justeru dia sedia dikecam gara-gara penampilannya tersebut.
“Sewaktu saya menterjemahkan konsep pakaian itu, saya cuba selitkan elemen muzik
arus perdana agar muzik nasyid tidak dilihat menerusi skop yang sama.
“Genre nasyid ini lebih besar dari apa yang dibayangkan oleh segelintir orang. Banyak yang perlu saya eksperimentasikan lebih-lebih lagi apabila elemen arus perdana itu cuba diselitkan.
“Siapa tahu, mereka yang belum pernah mendengar nasyid atau tidak mendengar nasyid boleh tertarik menerusi fesyen. Lagipun takkan hanya dilihat sama saja seperti 25 tahun dulu kan? Jadi saya sekadar ingin mencuba sesuatu yang baru,” katanya lagi.