SEGAMAT: Sambutan ulang tahun kelahiran menjadi hari dinantikan terutama golongan kanak-kanak namun bagi Ezayani Insyira Irwan Affandi, 11, yang dilahirkan pada 29 Februari 2012, sambutannya berbeza berbanding insan lain kerana dilahirkan pada tahun lompat.
Ezayani Insyira atau nama timangannya, Eya bagaimanapun menganggap tarikh tersebut sangat istimewa kerana bukan semua orang beruntung dilahirkan pada tahun lompat.
Katanya, lazimnya dia memilih tarikh 28 Mac untuk menyambut hari kelahiran pada tahun yang tiada tarikh 29 Februari berbanding 1 Mac.
“Ini kerana tarikh ini adalah tarikh terakhir dalam bulan Februari. Saya tidak mahu sambut pada 1 Mac sebab sudah masuk bulan berlainan,” katanya ketika ditemui di Kampung Gubah, di sini.
Ezayani Insyira yang dilahirkan di Hospital Segamat kini bersekolah dan menetap di Kuala Lumpur bersama ibu bapanya yang bekerja di ibu kota.
Sementara itu, meskipun tarikh 29 Februari hanya muncul empat tahun sekali, ibunya, Noor Syahida Nor Azman, 36, dan bapanya, Irwan Affandi Md. Idris, 41, tidak pernah lupa menyambut hari jadi puteri mereka pada setiap 28 Februari.
Mereka menganggap tarikh tersebut amat unik dan istimewa, apatah lagi Ezayani Insyira adalah puteri tunggal mereka.
“Kalau diikutkan, tarikh bersalin saya pada 21 Mac 2012 tetapi Allah itu sebaik-baik perancang ditakdirkan cepat pula pada 29 Februari. Semasa Eya berumur empat tahun dan sudah bersekolah tadika, kami mula bercerita dan menerangkan kepadanya dengan bahasa mudah apa yang dimaksudkan dengan tahun lompat kerana Eya tidak akan jumpa tarikh yang sama pada tiga tahun berikutnya dalam kalendar,” katanya.
Tahun lompat adalah tahun yang mengandungi lebih satu hari daripada tahun biasa bagi menyamakannya dengan tahun astronomi ataupun tahun yang bermusim. – UTUSAN