PETALING JAYA: Bintang filem Parasite, Park So-Dam memaklumkan keadaan kesihatannya kini beransur pulih dan mula menjalani kehidupan seperti biasa selepas disahkan menderita kanser tiroid.
Kongsinya, walaupun dia masih belum sembuh sepenuhnya, dia kini sudah mula melakukan aktiviti seperti bersenam untuk mengembalikan stamina selain perlu memakan ubat selama lima tahun.
“Tahap hormon saya tidak menentu, jadi perlu makan ubat selama lima tahun. Saya juga mendapatkan nasihat dan rawatan susulan daripada doktor. Tetapi setakat ini, keadaan kesihatan saya baik.
“Saya lebih mengutamakan kesihatan sekarang. Dulu bila sakit saya fikir itu sebab keletihan bekerja. Ingat saya ada masalah kemurungan dan mental. Tetapi rupanya badan sedang beri signal.
“Jadi saya tak akan ambil mudah bab kesihatan. Saya juga tidak mahu menyusahkan mana-mana pihak terutama produksi. Sebab itu saya amalkan kehidupan yang lebih sihat,” ujarnya.
Dalam pada itu, So-Dam berkata, dia baru merasai nikmat berehat yang baik di usia 32 tahun selepas terpaksa berhenti melakukan sebarang aktiviti termasuk penggambaran ketika disahkan menghidap kanser.
“Saya ambil kesempatan berehat itu dengan mengembara ke seluruh Eropah selama lebih sebulan selepas keadaan kesihatan semakin stabil. Saya bertemu dengan ramai orang termasuk peminat.
“Saya tak mahu buat orang bimbang lagi. Saya bercadang untuk memuat naik video pengembaraan saya ke Eropah. Saya mahu berkongsi kebahagian dan aktiviti saya,” katanya.