BAGAIKAN satu fenomena mutakhir ini apabila lambakan konsert menghiasi pelbagai lokasi melibatkan artis tempatan mahupun luar negara. Timbul persoalan apakah kelayakan utama bagi pelaku seni menganjurkan konsert atau ia sekadar menjadi trend?
Sifu muzik tersohor tanah air, Datuk M. Nasir menggariskan prasyarat buat mana-mana individu bergelar artis sebelum layak mengadakan konsert.
Jelasnya yang sudah melahirkan ramai artis hebat, seorang penyanyi perlu ada koleksi lagu popular selain mempunyai tahap nyanyian yang sangat bagus.
“Suara sedap disukai ramai dan banyak lagu hits yang boleh membuatkan penonton terhibur. Kalau tiada lagu hits sekalipun, tetapi nyanyiannya sedap didengar juga sudah layak buat konsert,” katanya.
Seniman yang terkenal dengan seleksi lagu malar segar itu berkata, penganjuran konsert sudah menjadi fenomena dunia kerana ramai artis veteran masih gagah membuat persembahan berskala besar.
Kata penyanyi Tanya Sama Itu Hud Hud itu, faktor tersebut didorong oleh himpunan lagu hits mereka sejak zaman awal pembabitan dalam dunia seni.
“Ada penyanyi terkenal dunia yang sudah berusia 70 ke 80 tahun tapi masih buat konsert dan sentiasa penuh dengan penonton.
“Kebanyakan konsert di luar negara diadakan di negeri yang ramai penduduk golongan pertengahan yang berkemampuan membeli tiket konsert,” katanya.
Mengulas artis senior lebih banyak menganjurkan konsert berbanding artis muda, M. Nasir berkata, kebanyakan penyanyi baharu belum dapat membentuk personaliti dan karisma sebagai penghibur.
Katanya, elemen itu hanya dapat dibentuk dalam tempoh agak lama dan boleh mencecah ke 10 tahun, selain faktor mereka kurang mempunyai lagu.
“Itu perbezaan ketara artis lama dan baharu. Artis lama sudah kukuh jenama mereka dengan lagu-lagu lama dan mempunyai pesona yang dapat menarik orang untuk menonton mereka.
“Kalau dahulu masa sesi rakaman penyanyi sudah ada 10 lagu, berbanding sekarang yang lebih fokus kepada single semata-mata. Penyanyi juga perlu menghasilkan lagu hits supaya tidak dilupakan. Kalau sesebuah kumpulan berjaya buat lagu yang meletup itu sudah jadi syarat untuk jadi penghibur,” ujarnya.
SIFU & AKU 38
M. Nasir bakal bergabung dengan Datuk Hattan dalam konsert Sifu & Aku 38 di dua lokasi berbeza di Sarawak dan Sabah. Konsert yang julung kali menampilkan seorang sifu dan anak murid itu bakal diadakan pada 25 Mei depan di Borneo Convention Centre Kuching, Sarawak dan 1 Jun di Sabah International Convention Centre.
Mengulas detik perkenalan dengan gurunya, Hattan berkata, kali pertama dia terserempak dengan M. Nasir ketika berada di gerai makan berdekatan restoran makanan segera di Bangsar, pada 1994.
Ketika itu, katanya, dia hanya mengenakan seluar ketat yang dijahit sendiri dan memberanikan diri menegur seniman muzik disegani itu.
“Masa tu M. Nasir sedang membikin album Search dan saya cakap nak jadi penyanyi. Kemudian, dia tanya saya adakah cukup bagus untuk bergelar penyanyi. Itu antara perbualan yang saya masih ingat,” katanya.
Menurut Hattan, konsert itu mempunyai kelainan kerana penonton bakal disajikan dengan persembahan lagu yang menyentuh jiwa dan meruntun hati.
Selain menghimpunkan 15 pemuzik terbaik atas pentas, dua penyanyi tersohor itu juga bakal mempersembahkan dua single baharu.
“Idea asal sebenarnya nak rekod album berjudul Sifu & Aku, tetapi disebabkan kesibukan pemuzik lain kita terpaksa tangguhkan hasrat itu. Jadi, kami sempat buat dua lagu dan akan berduet atas pentas nanti.
“Perancangan kami sangat besar untuk membawa konsert di Sabah dan Sarawak sebab jarang penganjur buat konsert di sana. Ini juga adalah sempena 38 tahun saya berada dalam industri seni,” katanya.