ALOR SETAR: Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menyeru Kerajaan Persekutuan menyokong dan memberi pertimbangan wajar kepada cadangan pembangunan projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP).
Titah baginda, sokongan bagi pelaksanaan pembangunan projek KXP itu demi manfaat menyeluruh kepada negara khususnya untuk merancakkan pembangunan ekonomi Kedah dan wilayah utara tanah air.
“Pada 24 Februari, Perdana Menteri membentangkan Belanjawan 2023 di Parlimen. Berdasarkan kepada pembentangan tersebut, cadangan pembangunan KXP yang menjadi salah satu projek berimpak tinggi negeri tidak diberi keutamaan.
“Beta berpandangan projek KXP wajar diberi pertimbangan,” titah baginda pada Istiadat Perasmian Pembukaan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang ke-14 di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.
Sultan Sallehuddin bertitah, perancangan untuk membangunkan projek KXP bermula sejak 2013 selain sebanyak lima kajian kebolehlaksanaan dijalankan setakat ini.
“Berdasarkan kajian-kajian itu, pembangunan KXP bakal menjadi pemangkin perubahan ekonomi Kedah dan berfungsi sebagai pelengkap kepada lapangan terbang sedia ada di utara tanah air melalui penyediaan perkhidmatan kargo yang lebih komprehensif dan disokong pembangunan hab penyelenggaraan, pembaikan dan kendalian atau operasi (MRO),” titah baginda.
Tambah baginda, projek KXP yang dilaksanakan secara inisiatif pembiayaan swasta (PFI) adalah berperanan sebagai pemboleh kepada keseluruhan pembangunan Kedah Aerotropolis yang turut merangkumi komponen lain seperti Logistik Sidam, Hab Aeroangkasa dan Pembuatan, Pusat Bisnes dan pembangunan Bandar Lapangan Terbang.
Titah Sultan Kedah, baginda turut mengingatkan agar semua pemimpin di pihak kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan berkhidmat secara profesional termasuk fokus terhadap penyelesaian isu dan permasalahan rakyat.
“Beta percaya peri pentingnya keharmonian hubungan di antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan. Ini adalah agar fokus kerajaan terhadap penyelesaian isu dan permasalahan rakyat tidak terjejas.
“Negara, negeri dan rakyat memerlukan kestabilan politik untuk memperoleh manfaat melalui pembangunan projek ekonomi dan program kesejahteraan rakyat yang dirancang. Tanpa gandingan yang harmoni di antara keduanya, rakyat pasti akan menerima kesannya,” titah baginda.
Sultan Sallehuddin bertitah, berpolitik secara berlebihan perlu dielakkan dan sentiasa berusaha menjaga hubungan di antara satu sama lain khususnya antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.
“Hubungan antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan bukan hanya perlu dijaga malah perlu ditunjukkan bahawa ia dijaga. Beta berharap tahap profesionalisme yang tinggi di antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan,” titah baginda. –UTUSAN