SABAK BERNAM: Perjalanan sepasang suami isteri warga emas menuju ke Parit Lima bertukar tragedi selepas maut dilanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 70 Jalan Teluk Intan-Klang, hari ini.
Dalam kejadian pukul 11.08 pagi itu, kedua-dua mangsa berusia 60-an itu menaiki motosikal Yamaha Lagenda dari rumah mereka di Kampung Baru.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd. Alias berkata, siasatan awal mendapati kereta Nissan Grand Livina dipandu lelaki berusia 32 tahun itu sedang menuju ke Simpang Lima, Sungai Besar.
“Setibanya di lokasi, MPV yang berada di lorong kanan meneruskan perjalanan di jalan menghala Teluk Intan berkenaan.
“Namun, motosikal mangsa dipercayai mengubah laluan dari bahu jalan hingga menyebabkan pemandu itu gagal mengelak lalu melanggar mereka,” katanya ketika dihubungi petang tadi.
Jelas beliau, pelanggaran itu mengakibatkan pembonceng wanita meninggal dunia di tempat kejadian.
“Penunggang motosikal yang juga penunggang mengalami kecederaan di kepala dan patah kaki kiri. Lelaki itu bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Tanjong Karang,” ujarnya.
Tambah Agus Salim, siasatan lanjut masih dijalankan pihaknya mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN