KUALA LUMPUR: Kira-kira 60,000 peminat setia kumpulan sensasi dari Korea Selatan, Blackpink membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil sempena konsert jelajah dunia Born Pink, malam tadi.
Peminat kumpulan itu yang dikenali sebagai Blinks Malaysia melahirkan keterujaan kerana dapat melihat penampilan Lisa, Jennie, Rose dan Jisoo di atas pentas berskala besar di negara ini.
Menerusi ciapan Twitter, seorang peminat K-Pop berpuas hati dengan skrin layar lebar yang disediakan walaupun mendapat tempat duduk yang jauh dari pentas utama.
“Ini adalah konset K-Pop pertama saya. Pemandangan dari tempat duduk juga agak baik walaupun jauh daripada pentas, mungkin sebab ada skrin tambahan yang disediakan.
“Lautan merah jambu sangat cantik dan semua orang berpuas hati,” katanya.
Seorang peminat lian pula berbangga kerana menjadi saksi penganjuran konsert terbesar Blackpink di negara ini.
Rata-rata peminat juga berasa teruja melihat lautan cahaya merah jambu yang membanjiri stadium tersebut dan setiap genap ruang dipenuhi penonton.
Penganjuran konsert tersebut juga menjadi tular di Twitter dengan tanda pagar Everyone Silent, Pink Ocean dan Bukit Jalil.
Terdahulu, peminat K-Pop dilaporkan sanggup tiba seawal pukul 10 pagi di pekarangan stadium bagi merasai bahang kehangatan konsert tersebut.
Untuk rekod, ini merupakan konsert kedua Blackpink di Malaysia dengan kali pertama dianjurkan pada 2019 menerusi konsert Blackpink World Tour: In Your Area.