PUTRAJAYA: Aktivis politik, Che’gu Bard hari ini tampil ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama beberapa dokumen berhubung dakwaan penyelewengan membabitkan penjualan tanah di Bukit Tinggi milik Yayasan Selangor untuk diserahkan kepada badan antirasuah itu.
Che’gu Bard atau nama sebenarnya, Badrul Hisham Shaharin yang hadir sekitar pukul 10.30 pagi dengan ditemani beberapa individu itu turut menggesa SPRM supaya menjalankan siasatan ke atas agensi kerajaan negeri berkenaan.
Dia mendakwa proses penjualan tanah secara curang itu berlaku di antara tahun 2019 hingga 2020.
“Bagaimana Yayasan Selangor sebuah organisasi besar yang seharusnya mempunyai pelbagai sumber pendapatan terpaksa menjual aset bagi mendapatkan kos operasi harian?
“Sebab itu SPRM perlu masuk segera ke bangunan berkenaan dan hentikan semua transaksi berkaitan tanah ini untuk menyelamatkan keadaan dan menyita semua akaun serta fail kewangan,” katanya ketika ditemui pemberita di hadapan Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.
Selain isu membabitkan penjualan tanah di Bukit Tinggi, Che’gu Bard berkata, maklumat yang diterima daripada sumber ada mendedahkan mengenai cadangan penjualan tujuh lagi aset milik Yayasan Selangor yang didakwa mengandungi unsur kecurangan.
Ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu turut mendakwa terdapat individu besar sedang berselindung dan mengakibatkan yayasan tersebut berada dalam keadaan kewangan yang nazak sehingga didakwa membuat pinjaman wang dari syarikat peminjam berlesen.
“Bagaimana Yayasan Selangor boleh berada dalam kedudukan kewangan yang sangat teruk? Kamu jual aset-aset yang ada, bukan tanah ini sahaja, banyak lagi (aset), kita akan bongkarkan,” ujarnya.
Semalam, Yayasan Selangor dalam satu kenyataan menafikan dakwaan yang dilontarkan menerusi hantaran Facebook Che’gu Bard Original pada Selasa lalu sebagai tuduhan tidak berasas, berbaur fitnah dan mengelirukan.
Menurut kenyataan itu, keputusan penjualan tanah telah mengikut prosedur operasi standard yang telah diluluskan Yayasan Selangor dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Selangor. – UTUSAN