SMK Seri Nilam menjadi sekolah pertama mempunyai perpustakaan digital - Utusan Malaysia

SMK Seri Nilam menjadi sekolah pertama mempunyai perpustakaan digital

SYAIFUL Rizal Abdul Ghani (dua dari kiri) menyempurnakan gimik penyerahan SIR Corner kepada Marzuki Musa di SMK Seri Nilam, Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

KUALA TERENGGANU: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nilam di sini menjadi sekolah pertama di negara ini yang mempunyai perpustakaan digital hasil inisiatif Yayasan Bank Rakyat (YBR).

Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani berkata, perpustakaan digital yang dikenali Serambi Ilmu Rakyat (SIR Corner) itu diwujudkan bertujuan menggalakkan lagi pembacaan dalam platform digital serta membudayakan amalan membaca untuk pelajar sekolah tersebut.

Menurutnya, SIR Corner itu dilengkapi dengan set komputer, meja dan 50 keahlian E-Library bagi memudahkan perkongsian maklumat melalui koleksi bahan-bahan bacaan digital SIR yang bersesuai dengan komuniti setempat.

“Sebelum ini YBR lebih memfokuskan perpustakaan digital di Institusi Pengajian Tinggi (IPT), namun kali ini kita memperluaskannya ke peringkat sekolah menengah pula.

“YBR berharap pelajar-pelajar dapat menggunakan peluang ini sebagai salah satu platform mencari bahan-bahan digital dan informasi terkini dalam menyelesaikan tugas yang diberikan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan perpustakaan digital itu kepada Pengetua SMK Seri Nilam, Marzuki Musa di sini hari ini.

Syaiful Rizal berkata, selain misi membantu mereka yang kurang berkemampuan terutama masyarakat luar bandar, pedalaman dan miskin bandar, SIR Corner ini turut memberi peluang kepada pelajar sekolah untuk menjadikan perpustakaan sebagai sebuah hab pendidikan tanpa sempadan selain ruang untuk mendapatkan bahan bacaan secara fizikal.

“Justeru, YBR telah memperuntukkan sebanyak RM350,000 setiap tahun untuk langganan dan pangkalan data bahan-bahan digital SIR dari pihak pembekal.

“Usaha ini bertujuan menggalakkan tabiat membaca buat pelajar-pelajar dan masyarakat tanpa sempadan masa dan lokasi,” katanya.

Selain SMK Seri Nilam, turut menerima kemudahan pendidikan yang sama ialah pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di Gong Badak dekat sini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya