Simpan berahimu dalam kepala - Utusan Malaysia

Simpan berahimu dalam kepala

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

STRATEGI Kuda Trojan sering dikait dengan niat buruk tetapi seperti banyak perkara lain, ia boleh dimanipulasi untuk tujuan baik. 

Saya percaya muzik boleh jadi Kuda Trojan untuk banyak tujuan baik. Agenda-agenda murni dan penting boleh disampaikan melalui muzik dan acara muzik. 

Antara yang perlu dibangkitkan dengan lebih kerap adalah tentang ruang yang selamat dan layanan-layanan yang tidak adil untuk wanita, baik sebagai pemuzik atau peminat muzik. 

Kelipan sedar tentang hal ini, maka mereka anjurkan sebuah acara muzik dengan tujuan khusus untuk menghargai wanita. 

Namanya Soundflowers dan ia berlangsung dengan jaya pada 11 Mac lalu.. 

RUBBER-RABA 

Soundflowers dianjur dengan agenda. Pesanan khidmatnya ditayang sejak awal promosi: DiLarang Meraba. 

Pada satu tahap, orang akan lihat ini sebagai satu jenaka. Larangan raba diiklankan sejelas ini. 

Tapi ia perlu kerana belum ada titik noktah yang boleh diletak untuk isu gangguan seksual dalam acara muzik. 

Banyak kes mungkin agak terpencil tapi kes sebegini sepatutnya sifar. Kenapa ada yang mahu cabul kehormatan orang lain dalam acara muzik? 

Orang lain layan muzik, kenapa awak nak layan berahi? Dopamina dari muzik saja belum cukup untuk awak? 

Peringatan bahawa ruang muzik sepatutnya selamat untuk semua perlu diulang-ulang sampai semua orang patuh. Jadi idealis dan mimpikan kes meraba di acara muzik terpadam sepenuhnya.

JADI SENJATA 

Namun, mengendali isu gangguan seksual di ruang muzik bukanlah mudah. Banyak hal yang perlu difikirkan dan diurus. 

Namun, jika terlalu banyak langkah berjaga-jaga diambil, ruang muzik tidak akan bebas seperti dahulu lagi. 

Tentang beratnya tuduhan juga perlu difikirkan. Kita tak mahu tersalah hukum, terutamanya dalam kes sebegini yang mencemar nama dan merosakkan reputasi. 

Kita juga tak mahu tuduhan gangguan seksual sewenangnya dijadikan senjata untuk menjatuhkan orang. 

Semua ini tidak akan menjadi masalah kalau semua orang tahu jaga kemaluan dan tahu nak simpan berahi sendiri dalam kepala. 

Tapi ini mimpi basah yang sukar terlaksana. Banyak hal yang perlu difikirkan. Dari mengekalkan kebebasan dalam ruang acara, cara mengendali aduan dan paling penting, menanam kesedaran kepada semua pihak. 

Jadi, apa yang dilakukan Kelipan melalui penganjuran Soundflowers ialah permulaan yang baik, sekurang-kurangnya untuk menimbulkan semula perbincangan tentang ruang yang selamat untuk wanita dalam acara muzik.

KUASA WANITA 

Soundflowers meraikan wanita. Selain pesanan khidmat awam yang penting untuk wanita (tanpa menafikan gangguan seksual juga boleh terjadi kepada lelaki), barisan persembahan juga menampilkan kuasa wanita. 

Dari kugiran, penyajak sehingga DJ, wanita ada terlibat. Soundflowers mengumpulkan penyanyi dan kugiran teraju wanita yang masing-masing ada impak kepada lapangan muzik independen khususnya. 

Yang ditunggu-tunggu pastilah Liyana Fizi, penyanyi-pencipta wanita yang sangat sinonim dengan lapangan muzik independen tempatan. 

Sekian lama berehat dari membuat persembahan, dia tampil memulih rindu para peminat. Saya tidak sempat menonton persembahan Liyana kerana komitmen yang perlu dilunas tetapi sambutan di media sosial membuktikan namanya masih besar dan kemunculan sentiasa ditunggu-tunggu. 

Selain Liyana, Diandra Arjunaidi dan Lab The Rat juga hadir dengan sentimen ‘comeback’. Saya sempat menonton Lab The Rat dan ia pengalaman yang menyeronokkan. 

Sudah lebih 10 tahun sejak saya tonton video persembahan Unstoppable, tak sangka impian menontonnya secara langsung terlaksana tahun ini. 

Soundflowers juga menampilkan penyanyi dan kugiran teraju wanita yang sedia mapan, seperti Leaism, Margosa dan Rina Hime. 

Malah, tidak juga meninggalkan pendatang baharu yang punya potensi, iaitu Vota, Unseen, Bawal dan Jeans, AVA, Eleven Tonight , Hawa dan Judos. 

RENTAS SENI 

Acara muzik tidak perlu terkepung dalam lingkungan muzik sahaja. Acara muzik yang melibatkan cabang seni lain perlu digalakkan lagi. 

Banyak manfaat yang boleh dikutip. Soundflowers tidak melupakan lapangan sastera, sebab itu mereka libatkan juga persembahan sajak dan jualan buku dalam acara itu. 

Tiga penyajak dijemput membacakan karya mereka ketika peralihan persembahan di pentas utama, iaitu EJ Safari, Ainsr dan Fifa. 

Saya yakin ketiga-tiga mereka dipilih bukan sekadar kerana mereka wanita, tapi karya mereka membawakan suara wanita yang sering didiamkan selama ini. 

Sekurang-kurangnya, itu yang saya rasa ketika mendengar suara mereka menyampaikan sajak. 

Soundflowers bagi saya mempunyai potensi yang besar, cuma mungkin kerana faktor-faktor lain sambutannya tidak begitu menggalakkan tahun ini. 

Tapi saya mahu ia danjurkan lagi pada tahun-tahun hadapan. Saya mahu setiap tahun, Mac saya diisi dengan acara muzik yang mengingatkan kita kepada pentingnya kewujudan wanita dalam setiap lapangan seni.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya