Signifikan brotherhood 25 tahun Saujana

Signifikan brotherhood 25 tahun Saujana

KONSERT Saujana sempena 25 Tahun penubuhan kumpulan itu di Zepp Kuala Lumpur. -UTUSAN/MOHD. FIRDAUS MOHD. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUMPULAN Saujana sekitar 25 tahun lalu mungkin sekadar menyimpan angan-angan untuk beraksi dalam sebuah konsert solo mereka sendiri. 

Ternyata, rezeki tidak alamat. Impian Suffian Amrin, Azalinor Abd. Rahman, Wan Najran Wan Mohd. Noh, Ahmad Zuhaidi Abdul Aziz, Idzu Baharin, Mohd. Hakimi Harun dan Faizul Hizal Ghazali akhirnya terlaksana.

Saujana 25 sebuah konsert yang bersifat personal. Ia merupakan yang pertama daripada kumpulan yang tertubuh lebih dua dekad lalu itu. 

Kata Suffian, mereka berasa lega dan gembira apabila diberikan kesempatan untuk menghadiahkan sebuah konsert istimewa buat  peminat yang sejak dulu mengikuti dan menyokong.

“Kami benar-benar tidak menyangka dapat meraikan ulang tahun ke-25 menerusi sebuah konsert solo. 

“Terima kasih Zepp Kuala Lumpur atas peluang yang diberikan. Sekurang-kurangnya, ada juga konsert nasyid dan acara dakwah yang diadakan di sini.

“Kami harap lebih banyak lagi kumpulan nasyid yang akan diberikan peluang seperti ini,” katanya kepada pemberita usai konsert Saujana 25 baru-baru ini.

Sebanyak 22 lagu dipersembahkan dalam konsert tersebut antaranya seperti Suci Sekeping Hati, Bulan Bintang, Keluarga Bahagia, Sepohon Kayu dan banyak lagi.

Berdasarkan sambutan yang menggalakkan, Saujana 25 disifatkan berjaya mencapai matlamat.

Meskipun dilaksanakan sehari selepas berlangsungnya konsert kumpulan gergasi K-Pop, Blackpink di Stadium Nasional Bukit Jalil, Konsert Saujana tetap mendapat sambutan.

“Alhamdulillah, sambutan luar biasa yang kami terima menandakan nasyid selayaknya diangkat sebagai salah satu  muzik mainstream yang mempunyai pengikut tersendiri. 

“Blackpink ada pengikut mereka sendiri. Manakala kami pula hanya fokus kepada konsert kami,” kata Suffian lagi.

Semangat persaudaraan, brotherhood

Kemunculan penasyid legenda, Nazrey Johani bersama kumpulan NowSeeHeart dan Andika serta Bob Yusof menjadi antara tarikan konsert yang berlangsung selama dua jam lebih itu. 

Kata Suffian, pemilihan artis jemputan adalah berdasarkan semangat setia kawan dan persaudaraan yang terbina sekian lama.

“Pemilihan mereka adalah berdasarkan ukhuwah, persaudaraan dan semangat brotherhood yang terbina sejak dahulu lagi. 

“Alhamdulillah, meskipun persediaan mengambil tempoh yang agak singkat, kami lega konsert ini berjalan lancar,” katanya.

Mengulas perkara sama, Wan Najran memaklumkan amat berbesar hati kerana dapat berkongsi pentas dengan figura bertaraf legenda seperti Nazrey.

“Kami bermula sejak di bangku sekolah lagi, jadi penyanyi-penyanyi nasyid seperti Nazrey banyak memberi galakkan untuk kami meneruskan perjuangan dakwah dalam nasyid.

“Beliau merupakan ikon yang cukup kami hormati. Kami hanya meneruskan legasi yang diperjuangkan penyanyi nasyid berpengalaman seperti beliau,” jelasnya.

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya