[Sidang DUN Melaka] TYT ingatkan, tunai janji pilihan raya

[Sidang DUN Melaka] TYT ingatkan, tunai janji pilihan raya

MOHD. ALI Mohd. Rustam memeriksa kawalan kehormat istiadat sempena Pembukaan Sidang Pertama Penggal Kedua DUN Melaka Ke-15 di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam mengingatkan kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali menumpukan usaha melunaskan janji-janji pilihan raya.

Ketika berucap merasmikan Pembukaan Sidang Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15, Mohd. Ali turut mengingatkan bahawa janji pilihan raya adalah amanah yang perlu digalas dan barisan kepemimpinan perlu bekerja lebih kuat untuk memahami denyut nadi rakyat serta membantu keperluan mereka.

Beliau berkata, kestabilan politik kekal menjadi faktor penting dalam pembangunan negeri kerana tiada pelabur asing berminat untuk melabur, sekiranya situasi politik tidak menentu.

“Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Seperti mana indahnya kata bidalan tersebut, begitulah juga kestabilan politik yang teguh bakal membawa perpaduan dan kemakmuran kepada seluruh rakyat.

“Justeru, saya juga berharap agar wakil-wakil rakyat dapat melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang telah diberikan oleh rakyat. Merangka dasar-dasar pembangunan negeri yang mampu menarik lebih banyak pelaburan demi pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” katanya di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Ali turut menyentuh isu rasionalisasi agensi kerajaan negeri agar tidak menjadi beban, malah dapat berdaya saing kepada pembangunan ekonomi dan menjadi penyumbang utama hasil kerajaan negeri.

Tegasnya, badan berkanun dan anak syarikat kerajaan negeri perlu meningkatkan kecekapan meneroka peluang-peluang dari pasaran modal yang lebih kompetitif.

“Kerajaan negeri juga boleh merancang untuk mewujudkan tabung pelaburan amanah hartanah dengan kaedah syarikat tujuan khas (SPV) bagi membeli dan menstruktur semula aset-aset berkualiti milik badan berkanun dan anak-anak syarikat untuk dibangunkan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya