[Sidang DUN Melaka] Projek terbengkalai jejas imej kerajaan

[Sidang DUN Melaka] Projek terbengkalai jejas imej kerajaan negeri

MOHD. ALI Mohd. Rustam (dua dari kiri) hadir ke Pembukaan Sidang Pertama Penggal Kedua DUN Melaka Ke-15 sambil diiringi Sulaiman Md. Ali (kiri) di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan negeri perlu menyiapkan projek-projek pelancongan terbengkalai dan menambah baik penampilan fizikal sebelum Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024, kata Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam.

Beliau berkata, berdasarkan pemerhatiannya terdapat beberapa projek dan produk pelancongan di negeri ini yang terbengkalai dan telah lama tidak beroperasi.

Tegasnya, keadaan itu secara tidak langsung menjejaskan imej kerajaan negeri kerana tumpuan pembangunan yang tidak seimbang antara kawasan bandar dan luar bandar.

“Fokus pembangunan pelancongan tidak hanya tertumpu di bandar, sebaliknya kawasan luar bandar juga wajar mendapat perhatian sama. Saya minta Ketua Menteri (Datuk Seri Sulaiman Md. Ali) agar dapat menyelesaikan projek terbengkalai ini dan menambah baik penampilan fizikal sebelum TMM 2024.

“Selain itu, kita perlu pastikan agar semua produk pelancongan Melaka bertaraf lima bintang bagi memenuhi permintaan pelancong. Ini termasuk produk pelancongan baharu yang boleh diterokai seperti geo-pelancongan, arkeo-pelancongan dan eko-pelancongan.

“Saya juga berpandangan agar pindaan dibuat ke atas enakmen warisan negeri untuk memberi fleksibiliti kepada kerajaan negeri bagi menguruskan kawasan seperti meningkatkan kemudahan infrastruktur dan jaringan komunikasi,” katanya dalam ucapan perasmian Pembukaan Sidang Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15 di Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Tambah Mohd. Ali, TMM 2024 merupakan medan terbaik untuk negeri ini bangkit memperkasakan sektor pelancongan melalui perancangan yang rapi daripada segi pengisian, aspek kebersihan dan pengindahan.

“Bangunan-bangunan terbiar di kawasan tapak warisan dunia dan tumpuan pelancong yang mencacatkan pemandangan perlu diambil tindakan segera,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya