PETALING JAYA: Persoalan siapa yang mengemudi sayap pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO bakal terjawab hari ini apabila Pemilihan UMNO bagi sesi 2023/2026 membuka tirainya dengan proses pengundian para perwakilan berlangsung di seluruh negara.
Perwakilan akan mengundi untuk memilih calon-calon yang bertanding dalam ketiga-tiga sayap itu di bahagian masing-masing serta Pusat.
Dijangka keputusan rasmi Pemilihan Wanita, Pemuda dan Puteri diketahui pada lewat malam ini dan diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU), Tan Sri Shahrir Samad setelah selesai proses perkiraan undi dan penelitian dijalankan.
Katanya, waktu pengundian berakhir selewat-lewatnya pukul 7 petang khususnya melibatkan bahagian yang dilanda banjir.
“Ia (pengumuman rasmi) akan dilakukan di Menara Dato’ Onn (Ibu Pejabat UMNO),” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bagi Wanita UMNO Malaysia, seramai dua calon menawarkan diri bertanding untuk jawatan Pengerusi Tetap manakala Timbalan Pengerusi Tetap (empat calon), Ketua Wanita UMNO (dua calon), Naib Ketua Wanita UMNO (dua calon) dan 61 orang bagi jawatan Exco.
Bagi Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia pula , seramai tujuh calon menawarkan diri untuk jawatan Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap (12), Ketua (empat), Naib Ketua (empat) dan 113 jawatan Exco.
Pergerakan Puteri UMNO Malaysia menyaksikan dua calon menawarkan diri bagi jawatan Pengerusi Tetap, dua Timbalan Pengerusi Tetap, enam untuk Ketua, tiga Naib Ketua dan 42 calon bagi jawatan Exco.
Pada minggu depan, ditetapkan pemilihan melibatkan jawatan Naib Presiden dan Ahli Majlis Tertinggi (MT) serta pertandingan pimpinan bahagian. – UTUSAN