Setiap projek pembangunan perlu ambil kira manfaat buat rakyat - Utusan Malaysia

Setiap projek pembangunan perlu ambil kira manfaat buat rakyat

ISTIADAT Perasmian Penggal Persidangan Pertama, Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis Ke-15 yang membuka tirai hari ini disempurnakan oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Setiap perancangan program atau projek pembangunan di negeri ini perlu mengambil kira manfaat yang bakal diraih oleh rakyat dalam memastikan keselesaan dan kebajikan mereka berada pada tahap terbaik.

Bagi memastikan kejayaan pelaksanaan ini, setiap fasiliti awam, kawasan rekreasi dan riadah perlu diperbanyakkan lagi oleh pihak bertanggungjawab selepas ini.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, bagi aspek penyediaan infrastruktur pula, jabatan atau agensi berkaitan perlu memastikan penyediaan kemudahan seperti jalan raya, bekalan air, elektrik dan jaringan komunikasi sentiasa berada pada tahap memuaskan.

“Justeru, beta menyarankan supaya satu mekanisme penambahbaikan turut dibuat bagi membolehkan rakyat menyalurkan aduan mereka dengan mudah.

“Jabatan atau agensi yang berkenaan harus mengambil langkah proaktif untuk menyelesaikan aduan tersebut dengan segera dan diambil tindakan tanpa memilih kasih,” titah baginda bersempena Istiadat Perasmian Penggal Persidangan Pertama, Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis Ke-15 di Kompleks DUN negeri di sini hari ini.

Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin bertitah, selaras dengan era digitalisasi pada masa kini, setiap jabatan dan agensi kerajaan negeri diharap dapat mentransformasikan perkhidmatan mereka ke arah digital.

Titah baginda, perubahan seharusnya dilakukan selari dengan peredaran semasa dan perkhidmatan tanpa tunai di setiap jabatan atau agensi kerajaan perlu diperluaskan bagi meningkatkan mutu perkhidmatan, memudahkan urusan pelanggan serta mengurangkan ketirisan.

“Dalam hal ini, beta menyambut baik hasrat Majlis Perbandaran Kangar (MPK) untuk mewujudkan sistem Smart Parking di mana pelaksanaan ini akan menjurus kepada satu revolusi besar sistem parkir di Perlis.

“Beta yakin, jabatan dan agensi negeri yang lain turut mempunyai perancangan untuk meningkatkan perkhidmatan ke arah digital,” titahnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya