KANGAR: Setiap pihak perlu bersama-sama mengambil tanggungjawab bagi menjaga keindahan negeri ini dengan mencorakkan diri mereka sebagai rakyat bermentaliti kelas pertama dalam segala tindakan.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, usaha bagi memelihara keindahan negeri ini termasuklah dengan menjaga kemudahan insfrastruktur dan fasiliti yang telah disediakan.
“Kita juga seharusnya bersama-sama memastikan tahap kebersihan, keselamatan dan kekayaan budi bahasa rakyat negeri ini terus diperkukuhkan,” titah baginda selepas berkenan berangkat singgah meninjau operasi Bukit Tau Advanture Park di Jalan Padang Lati, baru-baru ini.
Keberangkatan tiba baginda turut diiringi oleh Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Zailani Hashim dan disambut oleh pengusaha Bukit Tau Advanture Park, Suhair Yaacob.
Kunjungan Tuanku Syed Faizuddin ke kawasan itu adalah merupakan sebahagian daripada Program Kayuhan Berbasikal Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Peduli.
Menerusi program kayuhan itu, Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan singgah di tiga lokasi rumah kediaman asnaf terpilih sekitar Kampung Darat, di sini.
Tiga asnaf berkenaan, Abdul Hamid Dahman, 57, Yahaya Mat, 80 dan Che Mohamad Shahimi Che Pa, 42, masing-masing turut menerima sumbangan wang tunai berjumlah RM700 daripada MAIPs yang disampaikan sendiri oleh Tuanku Syed Faizuddin.-UTUSAN