PETALING JAYA: “17 tahun dalam industri, tiada pula rakan pelakon, wanita di luar sana pernah cuba ‘sondol’ saya. Mungkin dia tahu, takkan dapat apa-apa. Saya profesional lah.”
Itu jawapan pelakon dan penyanyi, Alif Satar apabila ditanya berhubung kontroversi melibatkan cinta lokasi dan wanita ketiga yang sedang hangat diperkatakan.
Kongsi Alif, dia pernah bekerjasama dengan ramai pelakon jelita dan berbakat besar namun masing-masing tahu batasan serta bersikap profesional di set penggambaran.
“Saya jenis lelaki yang pergi kerja, balik. Tak ada yang cuba mengurat. Dulu masa mula-mula dalam industri, adalah kot tetapi itu saya anggap peminat berseloroh. Sampai sekarang, tidak ada cubaan itu.
“Saya sendiri pun tahu, betapa sukarnya untuk seseorang menempa kejayaan dalam industri. Saya anggap kerjaya seni ini sebagai satu perniagaan. Saya kerja keras untuk capai tahap ini.
“Satu kesilapan boleh merosakkan segalanya. Saya juga ada isteri dan anak-anak. Alhamdulillah, saya bersyukur dengan rezeki serta apa yang ada sekarang,” ujarnya kepada Utusan Malaysia.
Alif ditemui ketika tayangan perdana filem kontroversi, Pulau yang turut menampilkan pelakon Amelia Handerson, Sajna Surtri, Harris Annuar dan ramai lagi di sini.
Sementara itu, mengulas tentang kontroversi filem tersebut, Alif mengharapkan agar peminat naskhah tempatan akan memberi sokogan dan menonton karya tersebut sebelum menilai.
“Saya ambil maklum dan tahu tentang kontroversi Pulau. Cuma bila penonton tengok, mereka akan nilai sendiri mengikut karakter pelakon itu. Watak itu juga berbeza dengan siapa saya di luar.
“Saya percaya agensi bertanggungjawab dan pihak produksi sendiri sudah menjalakan tugas mereka berhubung beberapa adegan yang mungkin melanggar sensitiviti. Tetapi tonton dahulu dan nilai.
“Saya terima filem ini juga kerana skrip dan rakan pelakon seperti Namron serta Wan Hanafi Su. Siapa tak mahu berlakon dalam satu naskhah dengan mereka kan?” katanya.