KOTA BHARU: Seni sulaman kelingkan dan tenunan songket didakwa berdepan kepupusan susulan ketiadaan pelapis atau pewaris untuk meneruskannya.
Pengerusi Pertubuhan Kraf Malaysia (MCC), Nik Faiz Nik Amin berkata, ketika ini hanya seorang sahaja penggiat aktif untuk setiap cabang seni sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai masa depan sulaman kelingkan dan tenunan songket.
“Lebih menyedihkan, masih ramai tidak mengetahui kewujudan kelingkan termasuk rakyat Kelantan sendiri. Susulan itu, MCC melancarkan The Silver Lining Project (TSLP) dalam usaha menangani krisis kepupusan kraf warisan seni sulaman kelingkan dan tenunan songket di Kelantan.
“Projek komuniti yang mendapat sokongan padu Yayasan Hasanah itu akan dilaksanakan selama tiga tahun bermula bulan depan.
“Ini merupakan salah satu usaha kita memartabatkan serta mengembalikan kehebatan warisan Melayu melalui tekstil, kraf logam dan seni persembahan di samping mewujudkan ekosistem yang lestari,” katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran TSLP di sini semalam.
Nik Faiz memberitahu, TSLP menumpukan usaha memelihara ilmu serta kemahiran yang dimiliki barisan jurulatih artisan sedia ada di samping memupuk penggiat seni kraf warisan bertaraf dunia dalam kalangan generasi baharu.
Katanya, usaha berterusan dengan menyediakan perantis artisan akan membantu meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat agar permintaan tinggi dapat diwujudkan sekali gus mengangkat kraf warisan itu ke posisi yang sewajarnya. – UTUSAN