KUALA LUMPUR: Penganjuran program atau majlis keagamaan dalam usaha berkongsi dan meraih ilmu adalah selaras dengan konsep yang dibawa Kerajaan Perpaduan iaitu Malaysia Madani.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, konsep Madani itu sendiri membawa pengertian bertamadun dan program keagamaan adalah satu daripada cabang usaha yang harus diimarahkan demi kefahaman ilmu.
“Majlis munajat dan berselawat termasuk majlis ilmu bagi saya sepatutnya diterapkan. Jika dihayati konsep Malaysia Madani itu sendiri, ia membawa pengertian negara ini bertamadun yang dijanakan dengan perpaduan.
“Seharusnya kita memanfaatkan kekuatan perpaduan dan kesatuan itu untuk mengangkat martabat insaniah, ekonomi, ilmu,pendidikan dan sosial.
“Bagaimanapun pemerkasaan ini terasnya atau pangkalnya adalah keyakinan kepada Allah SWT,” katanya semasa merasmikan program Selawat dan Munajat Perdana untuk Malaysia anjuran Pertubuhan Dai Kuala Lumpur dengan kerjasama Pejabat Perdana Menteri dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, di sini malam ini.
Program bertemakan ‘Mahabbah Rasullulah Asas Kejayaan Malaysia Madani’ itu dihadiri kira-kira 7,000 orang.
Turut hadir ke program ialah isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; tokoh ilmuan Islam, Al-Habib Ali Zaenal Abidin Abu Bakar al-Hamid dan ulama tersohor Mesir, Sheikh Ahmad bin Ali bin Yahya al-Husaini al-Badawi.
Dalam pada itu, Anwar mengajak semua rakyat beragama Islam di negara ini mendekati Nabi Muhammad SAW dengan sentiasa berselawat ke atas Baginda. – UTUSAN