Sehingga bersara, sebiji kapal pun tidak diterima - Mohd. Zubil

Sehingga bersara, sebiji kapal pun tidak diterima – Mohd. Zubil

MOHD. Zubil Mat Som memeriksa kawalan kehormat pada istiadat Paluan Berundur Ketua Pengarah Maritim Malaysia di Dataran Pahlawan Negara di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berharap Kapal Peronda Luar Pesisir pertama (OPV 1) dapat diserahkan kepada mereka tahun ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohd. Zubil Mat Som berkata, beliau difahamkan, OPV 1 dijangka dapat diserahkan pada Julai depan walaupun persetujuan awal dijanjikan pada bulan ini.

Beliau berkata, mengikut perjanjian awal, dua buah OPV akan diserahkan tahun ini, namun perkembangan baharu menyatakan OPV 1 diserah pada Mac, manakala OPV 2 pula masih menjadi tanda tanya.

“Saya berasa sangat-sangat kecewa kerana persetujuan sudah dibuat bahawa sebuah kapal akan diserahkan pada Mac dan sekarang sudah nak habis bulan Mac.

“Saya tidak mahu orang melihat saya komen (keluarkan kenyataan) ini dan beranggapan saya berani bersuara kerana sudah nak bersara.

“Sehingga tempoh persaraan, sebiji kapal pun tidak diterima, cuba bayangkan saya dah nak pencen pun saya masih berjuang untuk dapatkan satu kapal.

“Saya konsisten sejak dahulu bahawa kapal itu perlu diserahkan segera dan kalau boleh semalam saya nak ia diserahkan,” katanya ketika ditemui selepas hadir Perbarisan Paluan Berundur sempena persaraannya di Dataran Pahlawan, di sini hari ini.

Mohd. Zubil akan bersara wajib pada 19 Mac ini selepas 41 tahun dalam perkhidmatan dan Timbalan Ketua Pengarah Logistik, Datuk Saiful Lizan Ibrahim akan menanggung tugas sebagai Ketua Pengarah.

Katanya, OPV adalah kapal terbaik yang Maritim Malaysia perlukan sejak tiga tahun lalu dan diharap ia dapat diserahkan sebuah kapal dahulu tahun ini.

Mohd Zubil berkata, pihaknya merancang bahawa kapal itu sepatutnya belayar dan dipamerkan pada Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa (LIMA’23) Mei ini, namun, ia tidak dapat direalisasikan.

“Kita tengok Julai ini, jika ada majlis penamaan kapal kemungkinan mereka akan jemput saya dan jika tiada jemputan, maka kapal itu tidak siap lagilah,” katanya.

Katanya, pengganti beliau kelak akan memperjuangkan perkara yang sama dan berusaha supaya kapal itu dapat diserahkan tahun ini.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, OPV 1 dan 2 disiapkan dan diserahkan kepada Maritim Malaysia pada tahun ini mengikut tempoh ditetapkan masing-masing pada Mac dan Oktober.

Kerajaan turut menyuntik pinjaman berjumlah RM152.6 juta bagi memastikan projek Kapal OPV 1 milik Maritim Malaysia disiapkan tahun ini.

Pada Oktober tahun lalu, OPV1 sepanjang 83 meter (m) dan lebar 13.7m  itu dilancarkan ke air dengan keupayaan melakukan pengawasan jarak jauh sehingga ke Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) serta kawasan di luar jangkauan kapal kecil.

Kapal yang direka bentuk mengikut kapal Damen 1800 itu mampu melaksanakan operasi di laut dalam tempoh maksimum 21 hari tanpa ulang bekal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya