Sebar aura positif dalam lagu - Utusan Malaysia

Sebar aura positif dalam lagu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tahun 2023 menyaksikan kemunculan pendatang baharu industri seni suara yang hadir dengan bakat dan kebolehan tersendiri.

Antara yang bakal menyerlah adalah penyanyi berdarah kacukan Melayu Jepun, Mayumi Kasuga yang baru-baru ini muncul dengan single berjudul Satu.

Single bergenre pop balada itu disuntik elemen hip hop yang dibawakan dua penyanyi muda, Fhan dan Amzar Sabri.

Tambah istimewa, apabila lagu ini turut menampilkan elemen muzik tradisional Melayu dan Jepun.

Kata Mayumi, lagu yang dihasilkannya sendiri itu diinspirasikan menerusi pengalaman ketika berdepan pandemik yang mengubah dunia.

Katanya, kesukaran dan cabaran hidup dalam suasana pandemik menjadi intipati lagu yang penuh bermakna itu.

“Ramai orang berdepan kepayahan hidup ketika kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Hati saya tersentuh melihat semangat rakyat Malaysia ketika itu yang menggembleng tenaga membantu satu sama lain. Terinspirasi dengan keadaan tersebut, saya cipta lagu ini dengan harapan agar ia dapat membawa semangat positif untuk pendengar,” katanya.

Terang Mayumi, single tersebut membawa maksud tersirat yang mengingatkan pendengar kepada cinta kepada Tuhan, keluarga sahabat handai.

“Saya ingin sebuah lagu yang membawa erti perpaduan lebih-lebih lagi selepas fasa mencabar dalam hidup kita.

“Kalau pendengar amati lirik lagu ini, ia tidak menceritakan percintaan antara lelaki dan perempuan. Sebaliknya lebih daripada itu. Saya percaya muzik adalah bahasa universal yang mampu mengeratkan kita. Lagu ini mengandungi impak positif kepada pendengar,” ujarnya.

Imej bertatu dalam muzik video

Muzik video Satu telah dipertontonkan di Youtube dan menerima pelbagai reaksi positif masyarakat.

Kata Mayumi, penampilannya bertatu dalam muzik video berkenaan mengundang pelbagai pertanyaan dalam kalangan peminat.

“Dalam muzik itu saya membawakan watak seorang Geisha. Jadi saya nak tunjukkan budaya Yakuza yang sinonim dengan tatu.

“Setakat ini saya tidak menerima reaksi negatif, malah ramai yang bertanyakan perkara ini dan terbuka mendengar penjelasan saya mengenainya.

“Ini matlamat saya, menyebarkan pengetahuan tentang budaya yang asing bagi kita. Saya gembira kerana ramai yang bertanyakan tentanganya,” jelasnya.

Kacukan Melayu Jepun

Berdarah campuran tentunya memberi kelebihan Mayumi. Katanya, yang melucukan adalah apabila ramai yang keliru, malah ada yang menyangka dia berdarah Inggeris.

“Ibu saya Melayu, manakala bapa pula berdarah kacukan Jepun dan Korea. Tetapi, orang selalu menyangka saya berketurunan Inggeris.

“Banyak kelebihan apabila kita dilahirkan dalam keluarga campuran. Antaranya adalah penguasaan bahasa, dimana saya boleh berbahasa Jepun dan Melayu serta Mandarin dengan lancar,” katanya.

Kata Mayumi lagi, kelebihan itu juga membuka ruang dan peluang untuk dia bekerja sama dengan pemuzik ternama di Jepun.

“Saya dalam perancangan untuk berkolaborasi dengan beberapa pemuzik di sana. Ada beberapa nama, bagaimanapun pihak kami masih dalam proses membuat pilihan.

“Dalam masa sama, saya juga akan melahirkan single yang bakal diterbitkan dalam empat bahasa iaitu Jepun, Melayu, Inggeris dan Mandarin. Mungkin akan diperdengarkan tahun ini juga,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya