GEORGE TOWN: Kira-kira 87.5 peratus atau 98 daripada 112 sampel sayuran dan 55 peratus atau 11 daripada 20 sampel beras di pasaran ketika ini didakwa dikesan mengandungi racun makhluk perosak.
Pendedahan itu dibuat oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) hasil kajian ke atas beberapa sampel sayur dan beras yang dibeli di pelbagai lokasi termasuk di pasar raya, pasar raya besar, pasar basah, pasar mini dan kedai runcit di sekitar negeri itu.
Presiden CAP, Mohideen Abdel Kadir berkata, kajian itu dilakukan dengan bantuan Wonjin Institute for Occupational and Environmental Health (WIOEH) serta sokongan daripada Financial Industry Public Interest Foundation (FIPIF) di Korea Selatan.
Menurut beliau, kebanyakan sayuran yang diuji adalah dari kebun di Ara Kuda yang merupakan kawasan penanaman utama sayur di Pulau Pinang.
“Sayuran yang diuji itu didapati mengandungi sejumlah racun makhluk perosak yang tinggi dan berlebihan serta racun makhluk perosak lain yang diharamkan oleh negara Kesatuan Eropah (EU) untuk digunakan di Malaysia.
“Apa yang paling mengejutkan adalah kehadiran sehingga 35 sebatian dalam satu sayuran,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, selain menggunakan racun makhluk perosak yang berlebihan, petani juga menggunakan racun makhluk perosak yang diharamkan.
Sebagai contoh, ujar beliau, racun makhluk perosak Abamectin yang hanya dibenarkan untuk digunakan dalam buah-buahan seperti tembikai, timun dan tomato didapati ditemui dalam daun saderi dan daun bawang.
“Racun makhluk perosak Carbofuran yang akan diharamkan bermula Mei 2023 pula sepatutnya ada dalam beras sahaja, namun turut dijumpai dalam beberapa sayuran berdaun,” katanya.
Mohideen menambah, ketika ini, kebanyakan pengguna di negara ini tidak menyedari mengenai tahap serta jenis racun perosak yang digunakan dalam hasil pertanian tempatan memandangkan tidak banyak publisiti mengenainya.
Malah, tambah beliau, kajian itu juga mendedahkan kerajaan menggalakkan penggunaan racun makhluk perosak memandangkan petani diberikan bantuan kewangan untuk membelinya.
“Ramai petani tidak menyedari akan bahaya racun makhluk perosak ini dan tidak mengamalkan prosedur keselamatan yang diperlukan seperti memakai peralatan perlindungan keselamatan.
“Dalam hal ini, kebiasaannya pekerja asing yang tidak dilatih dalam prosedur dibayar untuk menggunakan racun makhluk perosak dan kita juga mendapati tidak terdapat tempat simpanan sempurna untuk racun makhluk perosak itu,” kata beliau.
Sehubungan itu, katanya, CAP menggesa pihak berkuasa melakukan ujian secara tetap terhadap barangan makanan di pasaran bagi mengetahui paras kandungan racun makhluk perosak selain mengumumkan hasilnya supaya pengguna boleh mengelakkan barangan makanan yang didapati mengandungi racun makhluk perosak.
“Sementara itu, pengguna pula dinasihatkan menuntut amalan pengeluaran makanan yang lebih baik melalui kuasa penggunaan mereka.
“CAP amat memandang serius perkara ini dan dengan itu menggalakkan pengguna supaya menanam sayuran organik mereka sendiri,” ujar beliau. – UTUSAN