'Saya maafkan, dia macam anak kandung sendiri - Bapa Safsufarnisya - Utusan Malaysia

‘Saya maafkan, dia macam anak kandung sendiri – Bapa Safsufarnisya

RAZARUDIN Husain bertanyakan sesuatu kepada Salleh Eizan di kediaman mereka di Kampung Bendang Baru, Simpang Empat, Arau, Perlis hari ini.-UTUSAN/SYED AZLAN SAYID HIZAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Bapa kepada Safsufarnisya Salleh,27, yang ditembak mati oleh suaminya yang juga anggota polis berpangkat lans koperal dalam kejadian menyayat hati semalam, memaafkan segala perbuatan menantunya itu.

Salleh Eizan, 61, yang reda dengan kejadian itu sudah menganggap menantunya itu sebagai anak kandung sendiri.

Katanya, pada mulanya dia tidak boleh menerima hakikat kejadian yang menimpa anak bongsunya itu namun sudah menerima kejadian itu dengan hati terbuka.

“Semasa hari pertama kejadian, hati saya masih terkejut namun pada hari ini, keadaan bertambah baik dan saya boleh menerima ketentuan Ilahi.

“Menantu saya ini pula, saya sudah anggap macam anak saya sendiri kerana kami tinggal sekali, menjaga kebajikan, sering menghantar saya dan isteri menerima rawatan di hospital,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Terdahulu, dia dan keluarga menerima kunjungan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain yang turut menghulurkan sumbangan.

Turut hadir Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad dan pegawai-pegawai kanan polis kontinjen negeri.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, seorang lans koperal polis yang baru pulang bertugas menembak mati isterinya dalam kejadian di bilik tidur rumah mereka di Kampung Bendang Baru, Simpang Empat di sini.

Kejadian pukul 6 pagi itu membabitkan anggota polis berusia 26 tahun dan bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis.

Semasa ditahan lans koperal itu berada di dalam bilik tidur bersama mayat isterinya, yang terbaring di atas tilam dengan muka cedera parah dipercayai akibat tembakan dari jarak dekat itu.

Ekoran itu, anggota polis berkenaan ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 12 Mac depan bagi membantu siasatan berhubung kes tembak tersebut

Tambah Salleh, Safsufarnisya yang merupakan anak bongsunya pula mempunyai perwatakan yang manja dan sering memeluk serta mencium ibunya hampir setiap hari.

Dalam pada itu, suasana bertambah sayu apabila ibu mangsa, Che Mas Taha, 63, menunjukkan beberapa pasang baju bayi berwarna putih pelbagai corak yang telah dibeli pasangan suami isteri itu sebagai persediaan menyambut kelahiran bayi.

CHE Mas Taha tidak dapat menahan kesedihan semasa menunjukkan beberapa pasang baju bayi yang ditemui dalam almari pakaian ketika membersihkan bilik tidur anak bongsunya. UTUSAN/SYED AZLAN SAYID HIZAR

“Saya tidak tahu mereka membeli baju bayi ini, kami hanya menemui baju ini dalam almari pakaian mereka selepas pasukan forensik memberi kebenaran membersihkan bilik tidur.

“Sepatutnya saya akan menimang cucu sekitar bulan Ogos ini,” katanya sambil menitiskan air mata.

Dalam pada itu, salah seorang kakak mangsa, Safsuzafira Salleh, 37, turut menunjukkan sekeping gambar memaparkan tulisan menggunakan gincu pada cermin meja solek menunjukkan keterujaan pasangan itu menyambut ahli keluarga baharu.

Jenazah Allahyarhamah Safsufarnisya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Putra Simpang Empat di sini selepas solat Isyak.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya