ALOR GAJAH: “Dah penat dah, bagilah orang lain pula. Itu sahaja. Tidak ada sebarang perjanjian, dalam bulan puasa tak baik cakap bohong. Saya cakap ikhlas, memang tak mahu dah, bagilah peluang kepada orang lain.”
Itu penjelasan Ketua Menteri Melaka Ke-12, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali selepas hampir dua hari enggan mengulas berhubung peletakan jawatannya yang disahkan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Zaidi Johari hari ini.
Sulaiman berkata, keputusan untuk melepaskan jawatan telah beberapa kali disuarakan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini.
Ditanya sama ada ditawarkan sebarang peranan di peringkat Persekutuan selepas ini, ujarnya, beliau memilih untuk menjalani kehidupan biasa seperti sebelum ini, yang mana lebih memberi fokus kepada kawasannya iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu.
“Apa nak komen lagi, yang bercakapnya, keluar kenyataan SUK, Presiden UMNO. Apa yang dia cakap, itulah dia.
“Saya nak jaga DUN, nak duduk di DUN, back to my normal life. Keputusan ini sudah lama dibuat, saya pernah cakap saya sepenggal cukuplah, apa nak lama-lama,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sumbangan Ramadan Parlimen Masjid Tanah di Kompleks Jawatankuasa Penyelarasan DUN (Japerun) Kuala Linggi di sini, hari ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Ketua Menteri Melaka yang baharu bakal berlangsung esok, pukul 3 petang.
Zaidi berkata, Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam telah menerima surat peletakan jawatan Sulaiman sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-12.
Sulaiman meninggalkan Seri Negeri, Ayer Keroh di sini pada pukul 11.03 pagi tadi. – UTUSAN