MARANG: Masyarakat diminta menerima saranan membuat pengesanan awal kanser kerana satu daripada tiga kes penyakit itu boleh dicegah dan berpeluang untuk sembuh sepenuhnya jika menerima rawatan lebih awal.
Pengarah Kesihatan Terengganu, Datuk Dr. Kasemani Embong berkata, ini kerana ada pelbagai kemudahan saringan kanser ditawarkan seperti pemeriksaan klinikal payudara dan mammogram, saringan pap smear serta saringan sampel najis.
“Jika malu untuk membuat pemeriksaan di fasiliti kesihatan, mereka boleh datang dan kita akan memberi serta mengajar cara membuat saringan sendiri di rumah,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Hari Kanser Sedunia Peringkat Negeri di sini, hari ini.
Dalam masa yang sama, Dr. Kasemani memberitahu, jumlah pesakit kanser di Terengganu meningkat kepada 1,223 orang sepanjang tahun lalu berbanding 1,193 orang pada 2021.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, kanser payudara adalah kes paling kerap dilaporkan iaitu 24 peratus atau 291 orang.
Menurut beliau, peningkatan pesakit itu didorong kurangnya kesedaran untuk mencegah atau mendapatkan rawatan awal membendung penyakit membunuh itu.
“Apa yang merisaukan adalah lebih 60 peratus pesakit yang datang sudah terlewat iaitu tahap tiga dan empat. Sedangkan jika dapat mengesan lebih awal, kanser itu boleh dikawal.
“Selain kanser payudara, kanser usus dan kanser paru-paru adalah penyakit yang paling kerap dilaporkan. Oleh itu orang ramai perlu mengambil berat isu penjagaan kesihatan.
“Antara faktor menyumbang kepada risiko penyakit kanser adalah gaya hidup, pemakanan dan keturunan. Kelewatan mengesan kanser pula menyebabkan peningkatan kos rawatan,” katanya. – UTUSAN