KUALA LUMPUR: Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI) akan diperluaskan membabitkan ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara bermula penggal akan datang.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, inisiatif itu dibuat bagi mengambil kira isu kesihatan terutama penyakit tidak berjangkit (NCD) yang membimbangkan di negara ini.
Katanya, saringan tersebut akan dibuat setahun sekali ketika persidangan Dewan Rakyat berlangsung.
“Kita bukannya ingin mendahului Allah, tetapi statistik menunjukkan antara tempoh 2018 hingga 2020 terdapat sembilan wakil rakyat sama ada Ahli Parlimen atau pun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) meninggal dunia ketika berkhidmat akibat NCD.
“Berikutan itu saya berpandangan, mencegah lebih baik daripada merawat dan jawatankuasa ini melihat bahawa kempen kesedaran ini perlu dilakukan secara berterusan,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) di Parlimen, hari ini.
Mengulas tentang ANMS, Ahmad Zahid turut berkata, kerajaan akan meneliti semula pelaksanaan nutrisi pemakanan kanak-kanak di pra sekolah dan sekolah rendah memandangkan masalah kesihatan tetap berlaku meskipun sejumlah peruntukan besar telah disalurkan.
“Kita tahu peruntukan yang diberikan kepada program ini agak besar namun masalah kesihatan seumpama ini masih berlaku, jadi terdapat perbezaan bila ada peruntukan yang besar namun masalah tetap ada.
“Jadi kita akan lihat dan sebanyak 15 kementerian bersedia untuk mendukung program ini supaya ia dapat dilaksanakan sepenuhnya,” katanya. – UTUSAN