Sanusi harap Kerajaan Persekutuan jadi orang tengah tuntut caj air Pulau Pinang

Sanusi harap Kerajaan Persekutuan jadi orang tengah tuntut caj air Pulau Pinang

MUHAMMAD Sanusi Md. Nor (kanan) menelusuri Sungai Anak Bukit bagi meninjau potensi kawasan itu sempena Sambutan Hari Air Sedunia 2023 peringkat negeri di Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kerajaan Persekutuan diminta menjadi orang tengah dalam usaha Kedah untuk menuntut caj air mentah dari Pulau Pinang yang masih belum ada keputusan sehingga kini.

Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, Kerajaan Persekutuan melalui kementerian berkaitan pernah mengusahakan pertemuan melibatkan kedua-dua pihak namun langkah itu terhenti sejak terbentuknya kerajaan baharu selepas Pilihan Raya Umum Ke-15.

“Dahulu kementerian ada juga pertemuan tetapi di bawah kerajaan baharu ini, belum ada apa-apa lagi. Kita harap kerajaan Pusat jadi pengendali kepada pertemuan dan rundingan kerana perkara itu mesti memerlukan orang tengah untuk mengendalikannya.

“Saya harap kali ini Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim akan ambil inisiatif tersebut. Kalau tidak isu ini akan berterusan,” katanya dalam sidang akhbar sempena Sambutan Hari Air Sedunia 2023 di dataran Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Sebelum ini kerajaan negeri mengemukakan tuntutan bertulis kepada Pulau Pinang untuk mengenakan caj air mentah sebanyak RM50 juta setahun berikutan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mendapat bekalan air dari Sungai Ulu Muda yang berpunca dari Kedah.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow bagaimanapun menegaskan, penggunaan air Pulau Pinang dari sungai khususnya di kawasan sempadan negeri ini adalah sejajar dengan hak dan undang-undang antarabangsa.

Sementara itu, Muhammad Sanusi menegaskan, Kedah sama sekali tidak akan berhenti untuk membuat tuntutan itu.

“Dahulu mungkin orang tak faham, tetapi kini rasanya semua orang sudah tahu berkaitan isu penyelenggaraan, pengekalan tadahan air dan ‘river basin’ yang cuma lima peratus sahaja dimiliki Pulau Pinang.

“Kita bukan sekadar tanggung kos penyelenggaraan yang tinggi malah terlepas banyak perkara kerana tidak dapat membangunkan tanah dari kawasan tadahan, demi memastikan bekalan air mentah tidak terjejas. Pulau Pinang tak tahu semua ini kerana mereka cuma tahu ambil air di ‘bawah’ saja. Bayar sajalah,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya